Sukan SEA: Misi skuad kumite lepasi sasaran tiga emas

Puvaneswaran
Puvaneswaran
A
A
A

KUALA LUMPUR - Skuad kumite negara bakal turun ke medan ‘pertempuran’ pada Sukan SEA Hanoi, Vietnam bermula 12 hingga 23 Mei ini dengan misi melepasi sasaran tiga pingat emas yang ditetapkan Persekutuan Karate Malaysia (Makaf).

Jurulatih kumite kebangsaan, R Puvaneswaran berkata, walaupun ketika ini masih dalam suasana perayaan Aidilfitri, namun beliau dan anak buahnya terus bekerja keras bagi meningkatkan prestasi masing-masing di kem latihan.

Beliau berkata, selain fokus kepada taktikal dan strategi, latihan juga tertumpu kepada mempertajamkan lagi kemahiran atlet negara untuk kekal sebagai kuasa besar di temasya dwitahunan itu.

"Kita juga sedang berusaha meningkatkan lagi kekuatan dan memperbaiki kelemahan yang ada pada atlet berdasarkan prestasi di Kejohanan Persekutuan Karate Asia Tenggara (SEAKF) di Kemboja, akhir Mac lalu.

"Dari situ kita tengok lawan dari negara lain sama ada mereka mungkin membawa ancaman kepada sasaran pingat kita. Kita kaji dan rancang bagaimana nak bersaing dengan mereka,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Majlis Sukan Negara (MSN) baru-baru ini.

Puvaneswaran, pemenang dua pingat emas Sukan Asia berkata, Makaf tidak mahu menamakan mana-mana atlet sebagai sandaran emas di Hanoi bagi mengelakkan tekanan kepada mereka.

"Kita mempunyai pasukan yang bagus, tetapi prestasi pada hari pertandingan sangat penting. Kita boleh jadi hero ketika latihan, tetapi pada hari pertandingan boleh ada gangguan mental dan tahap tekanan meningkat, jadi kita tidak mahu membebankan mereka dengan sasaran.

"Kita mampu beri lebih (daripada sasaran) jika atlet berada di tahap prestasi terbaik pada hari pertandingan,” katanya.

Namun beliau berkata, tiga juara bertahan pada edisi lepas di Filipina iaitu R Sharmendran bagi bawah 75 kilogram (kg) lelaki, S Prem Kumar (bawah 55kg lelaki) dan P Madhuri (bawah 55kg wanita), serta H Sureeya Sankar, V Kueggen dan C Shahmalarani yang menyinar di Kejohanan SEAKF, mampu mencuri tumpuan di Hanoi.

Pada edisi 2019, Malaysia mengungguli sukan karate apabila meraih empat pingat emas dan empat perak dengan tiga emas dan dua perak disumbangkan atlet kumite.

Acara karate Sukan SEA kali ini dijadual berlangsung dari 18 hingga 20 Mei. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!