Desak bubar Parlimen awal akibatkan negara kucar kacir

Mohamed Nazri
Mohamed Nazri
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menegaskan UMNO perlu berhenti mendesak agar Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat.

Memetik laporan Awani pada Rabu, beliau berkata, rakyat akan menghukum parti yang mengkucar-kacirkan kestabilan yang sedang dinikmati sekiranya UMNO mahu Parlimen dibubarkan ketika ini.

Menurutnya, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut bertitah bahawa Seri Paduka Baginda menginginkan sebuah kerajaan yang stabil.

"Jangan setakat bila untung kita sebut titah raja tetapi bila tidak menguntungkan, kita akan buat-buat lupa, tidak boleh.

"Jadi kita kena ingat, apapun, titah daripada Yang di-Pertuan Agong itu memang ada, mahukan kerajaan yang stabil, mahu negara stabil.

"Kalau kita langgar titah ini maka betullah anggapan orang, kita nak mengkucar-kacirkan keadaan yang sedang stabil sekarang, kenapa perlu kucar-kacir di waktu aman dan stabil, sekarang tidak ada apa-apa masalah.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mentadbir dengan baik, tidak ada masalah. Saya lihat alasan yang diberikan itu spekulasi sahaja atau pun diada-adakan sahaja," katanya.

Selepas memperoleh kemenangan selesa dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, terdapat pemimpin UMNO yang mendesak agar Parlimen dibubarkan bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan segera.

Bagaimanapun, ada juga pemimpin UMNO yang tidak bersetuju dengan pandangan berkenaan dan berpendapat kerajaan sedia ada perlu kekal sehingga habis penggal PRU14 iaitu pada pertengahan tahun depan.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazri berkata, rakyat juga akan melihat UMNO cuba menjatuhkan Perdana Menteri daripada parti sendiri.

"Pemulihan ekonomi negara kita belum lagi selesai, baru nak ‘steady’. Jadi pada waktu ini kita mendesak supaya diadakan PRU nampaklah kita yang mengkucar-kacirkan.

"Lebih teruk lagi ialah kalau kita desak PRU15 dan jatuhkan kerajaan yang ada ini, kita menjatuhkan seorang Perdana Menteri yang datang daripada kalangan kita," jelasnya.

Sementara itu, Felo Penyelidik Ilham Centre, Profesor Hamidin Abd Hamid berkata, hasrat mahu mengadakan pilihan raya awal digerakkan oleh sesetengah pemimpin UMNO yang ingin kekal pada kedudukan yang dimahukan.

Ujarnya, pentadbiran negara boleh menjadi stabil sekiranya UMNO juga mampu mencapai kestabilan dalaman parti mereka.

"Saya sering mengatakan UMNO perlu menyelesaikan perkara ini dengan baik untuk memastikan apa yang berlaku dalaman parti itu tidak tumpah dan memberi kesan kepada politik nasional.

"Setakat ini kita lihat UMNO gagal untuk menyelesaikan masalah dalaman parti mereka sendiri hingga ia dilihat menggugat kestabilan pentadbiran negara.

"Apa yang berlaku ketika ini, boleh saya katakan, desakan untuk bubar Parlimen dilakukan oleh pihak-pihak yang berkenaan dalam UMNO ini adalah usaha mereka menjadikan isu pilihan raya ini untuk memastikan mereka kekal pada kedudukan yang mereka mahukan.

"Saya kira UMNO sebagai sebuah parti tidak seharusnya diguna pakai dalam konteks peras ugut sedemikian oleh pemimpin mereka sendiri," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!