Dua remaja buat aksi 'willy, scorpion' ditahan
ALOR SETAR - Aksi dua remaja melakukan aksi ‘willy’ dan 'scorpion' semasa menunggang motosikal di Jalan Fasa 4 Hi-Tech dan Jalan Nagalilit, Kulim, di sini membawa padah apabila mereka ditahan polis pada Rabu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Superintendan Mohd Mahiri Hussain berkata, suspek berusia 18 dan 16 tahun ditahan di rumah masing-masing di Fasa 5 Keda Nagalilit dan Kampung Sungai Seluang Bawah.
Mohd Mahiri memberitahu, aksi dua remaja tersebut dikesan dalam sebuah rakaman video yang berdurasi 22 saat di laman sosial Instagram lebih kurang jam 8 pagi.
"Berdasarkan rakaman, dua remaja yang masing-masing menunggang motosikal jenis Modenas Kriss warna biru dan motosikal jenis Honda Ex5 warna merah melakukan aksi mengangkat tayar secara beriringan di dua jalan tersebut.
"Susulan itu, semakan JPJ online dilakukan atas nombor pendaftaran kedua-dua motosikal tersebut dengan menggunakan alat peranti (Mcops) dan anggota polis telah pergi ke sebuah rumah di Fasa 5 Keda Nagalilit," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Katanya, pengadu kemudiannya memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Kulim kepada penama dan menerangkan tujuan kedatangan bagi mengesan penunggang motosikal dalam video tersebut.
"Remaja lelaki berusia 18 tahun itu mengaku melakukan aksi dalam video dan berpandukan kepada suspek pertama maka anggota ke rumah suspek kedua di Kampung Sungai Seluang Bawah.
"Remaja berusia 16 tahun itu turut mengaku bersama-sama melakukan aksi di dalam video tersebut," katanya.
Beliau menjelaskan, susulan itu, kedua remaja dan motosikal mereka dibawa ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk tindakan lanjut.
Tambah beliau, kes disiasat bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!