Keputusan tepat tanpa khidmat ‘otai’

KIM SWEE
KIM SWEE
A
A
A

PENGENDALI skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara, Brad Maloney dianggap membuat keputusan tepat apabila tidak menyenaraikan tiga pemain senior pada Sukan SEA Hanoi 2021.

Bekas pengendali skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee berkata, ketiadaan tonggak senior akan membuka peluang kepada pemain muda memperoleh lebih banyak minit permainan sebagai persiapan menghadapi Piala Asia B-23 2022 di Tashkent, Uzbekistan bulan depan.

“Kalau saya berada di tempat Brad, saya juga akan buat keputusan yang sama iaitu untuk tidak menyenaraikan pemain senior ke Sukan SEA kali ini.

“Ini kerana saya tidak melihat ia satu keperluan memandangkan selepas ini skuad yang sama juga akan bertanding pada Piala Asia di Uzbekistan nanti.

“Dengan ketiadaan pemain senior pada Sukan SEA kali ini, ia akan menjadi medan terbaik buat pemain muda menimba pengalaman bagi meningkatkan prestasi masing-masing.

“Kalau bukan Sukan SEA, mana lagi pemain muda kita ini nak dapatkan perlawanan kompetitif sebagai persediaan sebelum menghadapi Piala Asia B-23 dalam tempoh kurang sebulan lagi.

“Dengan empat perlawanan peringkat kumpulan dan jika layak ke separuh akhir dan akhir, mereka akan dapat lagi dua perlawanan berintensiti tinggi,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Sejak kem latihan pusat skuad B-23 negara bermula bulan lalu, ada sebahagian peminat bola sepak tanah air yang mempertikai keputusan Maloney tidak menyenaraikan tiga pemain senior.

Berbanding beberapa pasukan lain yang mempertaruhkan kudrat pemain senior, Maloney lebih cenderung menagih khidmat barisan pemain muda.

Pada Selasa, Maloney secara rasmi mengumumkan senarai 24 pemain yang akan menggalas cabaran skuad B-23 negara pada Sukan SEA Hanoi 2021.

Difahamkan, dalam saingan Kumpulan B, hanya Malaysia dan Kemboja yang tidak menggunakan khidmat pemain melebihi umur pada Sukan SEA edisi ke-31 itu.

“Melihatkan senarai pemain 24 yang dibawa Maloney ke Sukan SEA di Hanoi, saya yakin mereka masih mampu untuk menjelmakan keputusan positif.

“Malah, saya juga jangka mereka mampu untuk layak ke peringkat separuh akhir dengan barisan pemain muda sedia ada,” ujarnya yang pernah menerajui skuad B-23 negara meraih emas pada Sukan SEA 2011.

Malaysia akan memulakan kempen berdepan Thailand pada Sabtu ini sebelum menentang Laos (11 Mei); Singapura (14 Mei) dan Kemboja (16 Mei) dengan kesemua perlawanan dijadual berlangsung di Stadium Thien Truong, Nam Dinh.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!