‘Aidilfitri perantau asing di Malaysia’

Dari kiri : BARRY, AISYAH AMINAH,HASAN AL BANNA,ZUBIYA dan HALIL IBRAHIM
Dari kiri : BARRY, AISYAH AMINAH,HASAN AL BANNA,ZUBIYA dan HALIL IBRAHIM
A
A
A

GOMBAK - Bagi sesetengah individu, tinggal dan menuntut ilmu di negara asing sememangnya memberi pengalaman baharu dan mengujakan.

Namun perasaan ingin pulang ke kampung halaman sentiasa bermain di fikiran tatkala menjelang musim perayaan.

Bagi pelajar bidang Psikologi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Zubiya Siddiqui, 24, Aidilfitri kali ini adalah yang pertama baginya walaupun berada di Malaysia hampir empat tahun.

“Saya teruja untuk menyambut Aidilfitri di Malaysia kerana ini pengalaman pertama membeli baju kurung untuk dipakai pada hari raya.

“Sungguh berbeza daripada sambutan di Jepun kerana tiada budaya sambutan hari raya ekoran komuniti Islam tidak ramai.

“Persiapan sambutan hari raya di Malaysia amat meriah. Sepanjang tempoh Ramadan, sudah ada pelbagai peralatan, makanan dan pakaian yang dijual serata tempat,” katanya ketika ditemui di UIAM, baru-baru ini.

Zubiya berkata, tradisi pulang ke kampung juga tidak berlaku di negara matahari terbit itu kerana kebanyakan penduduk tinggal di tempat asal.

“Pada 1 Syawal, kami akan pergi ke masjid berhampiran untuk solat (Aidilfitri) dan selepas itu menikmati hidangan yang dijual di luar masjid,” katanya.

Bagi pelajar Ilmu Wahyu di UIAM, Halil Ibrahim Dagli, 30, sambutan Aidilfitri antara Malaysia dan negara asalnya iaitu Turki, tidak jauh berbeza namun kemeriahan bagi anak perantau sepertinya sedikit ‘suram’ kerana tidak bersama keluarga.

“Di Turki, aktiviti ziarah rakan dan saudara hanya dibuat dalam tempoh seminggu iaitu 1 hingga 7 Syawal, namun berbeza di Malaysia yang menganjurkan rumah terbuka dan ziarah sepanjang bulan tersebut,” katanya.

Pelajar Sains Komputer, Hasan Al Banna Siddiki, 26, dari Bangladesh pula berkata, Aidilfitri kali ini memberi pengalaman berbeza baginya terutama dari segi makanan.

“Saya teruja untuk cuba makanan seperti rendang dan lemang kerana di Bangladesh, hanya manisan disajikan sewaktu Aidilfitri,” ujarnya.

Berlainan pula bagi pelajar seni bina, Barry Boubacar, 28, dari Guinea, walaupun terpaksa berjauhan dari keluarga namun sambutan Aidilfitrinya tetap meriah kerana dikelilingi rakan pelajar dari negara sama.

“Dua tahun sebelum ini, saya meraikan Syawal di kampus UIAM ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun tahun ini kita semua boleh raikan dengan bebas.

“Secara teknikal, ini kali pertama saya sambut hari raya dengan lengkap pakaian baharu. Walaupun berjauhan dengan keluarga, saya tidak sunyi kerana mudah untuk berhubung dengan orang tersayang,” katanya.

Sementara itu, pelajar Teologi Islam dan Perbandingan Agama, Aisyah Aminah Shamsuria, 22, dari Singapura berkata, sambutan Aidilfitri di Malaysia tidak berbeza dengan negaranya.

Dia mengakui amat teruja untuk menyambut Aidilfitri bersama rakan-rakan di kampus dan melihat sendiri kemeriahan perayaan hari raya.

“Sebenarnya tak banyak beza sambutan raya di Singapura dan Malaysia dan budaya juga hampir sama,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!