Lelaki parah motosikal langgar belakang SUV Hyundai Tucson
SEKINCHAN - Seorang lelaki parah selepas motosikal ditunggangnya melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Hyundai Tucson di Kilometer 71 Jalan Klang-Teluk Intan berhadapan sebuah stesen minyak di sini pada Rabu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 5.15 petang.
Menurutnya, siasatan awal mendapati SUV itu dari Tanjong Karang menuju ke Bagan Datuk, Perak melalui jalan atas (laluan bertingkat).
"Mangsa berusia 24 tahun yang menunggang motosikal Kawasaki ER650E dari arah sama tetapi melalui jalan bawah.
"Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi, pemandu SUV berusia 26 tahun dipercayai mengubah laluan ke kiri dari jalan atas ke jalan bawah untuk ke stesen minyak dan memasuki laluan mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Chee Khoon berkata, mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang Hyundai Tucson.
Katanya, akibat kemalangan itu penunggang motosikal cedera di kepala serta tangan kiri dan kanan.
"Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tanjong Karang sebelum dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!