Empat penagih ditahan cuba lari dari serbuan

No Image Caption
A
A
A

HULU TERENGGANU - Usaha empat lelaki melarikan diri selepas diserbu pihak berkuasa tidak berhasil apabila mereka berjaya ditangkap polis kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah di sebuah kilang kayu di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, serbuan jam 9.30 malam itu dilakukan selepas pihaknya mengadakan risikan susulan penerimaan maklumat mengenai aktiviti penagihan dadah di sana.

"Empat lelaki berusia antara 34 hingga 40 tahun yang merupakan pekerja di kilang kayu tersebut telah ditahan dan ujian saringan air kencing mendapati semua mereka positif methamphetamine.

"Pemeriksaan pada salah seorang daripada mereka berjaya menemui satu tiub straw di dalamnya berisi lima biji pil warna merah disyaki dadah jenis methamphetamine," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Menurut Mohd Adli, serbuan dilakukan Ketua Bahagian Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KBSPT) Hulu Terengganu, Inspektor Zainon Abidin Ismail bersama 14 anggota dari pelbagai unit termasuk narkotik.

Beliau berkata, empat suspek yang ditangkap kemudian dibawa ke Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1982 kerana memiliki dan menggunakan dadah," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!