Pemuda MCA, MIC harap PRU15 dalam masa terdekat

Daniel & Jayaganesh
Daniel & Jayaganesh
A
A
A

IPOH - Pemuda MCA Perak mahu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan kerajaan yang lebih stabil dibentuk.

Ketuanya, Daniel Wa Wai How berkata, memang sudah tiba masa untuk diadakan PRU15 memandangkan suasana pandemik juga sudah menunjukkan tanda-tanda pemulihan ke arah endemik.

Menurutnya, Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang untuk mendapatkan sokongan rakyat berdasarkan faktor suasana semasa yang sangat positif ketika ini.

"Perkara penting yang perlu menjadi tumpuan BN adalah kestabilan ekonomi dan politik negara serta perpaduan rakyat. Selepas pergolakan politik dalam empat tahun ini, rakyat perlukan satu kerajaan yang ada 'track record' yang baik dan menjaminkan kestabilan ekonomi negara.

"BN boleh menyumbangkan usaha dalam kestabilan politik dan ekonomi. Keutamaan yang diberikan terhadap kesejahteraan hidup rakyat boleh meningkatkan peluang BN memerintah selepas PRU15 nanti," katanya.

Dalam pada itu, Daniel Wa menyifatkan BN tidak memerlukan khemah besar seperti yang sedang dicanang oleh Pakatan Harapan (PH) kerana mereka sudah mempunyai mekanisme tersendiri untuk bergerak bersama.

Menurutnya, parti-parti komponen melibatkan UMNO, MCA dan MIC boleh berbincang dan berunding sebarang isu sebelum membuat keputusan.

Katanya, ia berlainan dengan kaedah PH yang menggunakan cara menang dahulu, berbincang kemudian sekaligus membuatkan rakyat menderita.

Sementara itu, menurut Ketua Pemuda MIC Perak, S Jayaganesh, peluang harus diambil oleh BN untuk menyegerakan PRU15 sebelum parti lawan bersatu dan membentuk gabungan seperti yang diinginkan.

Menurutnya, muka-muka baharu juga perlu diberikan laluan kerana formula tersebut sangat berkesan ketika siri-siri Pilihan Raya Negeri yang berlangsung di Melaka, Sarawak dan Johor.

Jelasnya, bukan itu sahaja, calon-calon yang ingin ditampilkan juga perlu bebas daripada rasuah dan salah guna kuasa bagi meyakinkan rakyat mengundi BN.

Pada Rabu, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menegaskan UMNO perlu berhenti mendesak agar Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, rakyat akan menghukum parti yang mengkucar-kacirkan kestabilan yang sedang dinikmati sekiranya UMNO mahu Parlimen dibubarkan ketika ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!