Lelaki maut ditembak bertemu suspek untuk urusan dadah

Antara senjata api yang dirampas susulan penangkapan dua suspek di sekitar Puchong pada Rabu. Gambar kecil: Azmi
Antara senjata api yang dirampas susulan penangkapan dua suspek di sekitar Puchong pada Rabu. Gambar kecil: Azmi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang maut ditembak dalam kejadian di sebuah bilik hotel di Jalan Bukit Bintang pada Selasa lalu dipercayai bertemu dengan tiga lelaki yang merupakan suspek kejadian bagi urusan jual beli dadah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, siasatan awal dijalankan berdasarkan penahanan tiga suspek sebelum ini mendapati mereka bertemu untuk urusan jual beli dadah sebelum mangsa maut ditembak.

Menurutnya, hasil semakan juga mendapati mangsa berusia 49 tahun itu mempunyai 14 rekod lampau berkaitan kes culik, bunuh dan majoritinya dadah, manakala suspek pertama yang ditahan mempunyai tujuh rekod berkaitan dadah.

"Seorang suspek berumur 40-an berjaya diberkas pada hari kejadian dan direman enam hari untuk siasatan lanjut, manakala dua lagi suspek berjaya ditahan di sekitar kawasan Puchong pada Rabu.

"Kita percaya dengan penahanan dua lagi suspek yang masing-masing berumur 47 dan 51 tahun itu sekaligus berjaya menyelesaikan kes ini," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini pada Khamis.

Azmi berkata, tangkapan yang dijalankan ke atas kedua suspek kira-kira jam 8.15 malam itu turut berjaya merampas senjata api yang dipercayai digunakan ketika kejadian.

"Antara yang dirampas melibatkan senjata api jenis pistol Semi Auto Barreta, lapan peluru, satu kelopak peluru, satu pistol Revolver 0.38, enam butir peluru serta pelbagai barangan lain.

"Siasatan awal juga mendapati salah satu senjata api yang dirampas itu dipercayai digunakan ketika kejadian," katanya.

Pada Selasa, suasana gempar di sebuah hotel di sini apabila seorang lelaki ditemukan maut dengan kesan tembakan di Jalan Bukit Bintang di sini petang Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 6 petang.

"Siasatan awal dijalankan mendapati mayat mangsa ditemukan kira-kira jam 7 petang oleh pekerja hotel berkenaan.

"Pemeriksaan dijalankan polis di tempat kejadian mendapati mangsa mengalami kesan tembakan di bahagian dahi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!