Gesa tubuh jawatankuasa inkuiri khas siasat kematian doktor pelatih
GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang menggesa Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar supaya menubuhkan sebuah jawatankuasa inkuiri khas berhubung insiden kematian seorang doktor pelatih yang bertugas di Hospital Pulau Pinang (HPP) baru-baru ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, penubuhan inkuiri itu adalah penting bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian tersebut selain mengelakkan perkara sama berulang terutamanya melibatkan doktor-doktor pelatih di negara ini.
"Pada dasarnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak-pihak berkenaan perlu segera tampil menjelaskan kejadian yang berlaku.
"Dalam masa sama, KKM juga digesa untuk mengkaji serta merombak semula sistem pengurusan sedia ada sekiranya perlu terutamanya membabitkan tempoh masa penugasan doktor-doktor di institusi-institusi perubatan kini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Kon Yeow menambah, KKM tidak wajar berdiam diri dan membiarkan perkara itu berterusan.
"Strategi serta jalan penyelesaian yang wajar adalah perlu disegerakan demi jaminan sistem perubatan negara kita secara menyeluruh," katanya.
Sebelum ini, seorang Pegawai Perubatan Siswazah yang telah melaporkan diri ke Pulau Pinang ditemui terjatuh dari bangunan kediamannya pada 17 April lalu.
Mangsa ditempatkan di HPP untuk menjalankan tugas pada 4 April lalu.
Pada Rabu, pemimpin di negeri ini menggesa KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) memberi penjelasan berhubung kejadian itu.
Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar serta Kesihatan, Dr Norlela Ariffin berkata, JKNPP dan KKM perlu menyiasat secara menyeluruh kejadian itu berikutan ia merupakan kejadian kedua dalam tempoh kurang dua tahun yang membabitkan seorang doktor pelatih.
Difahamkan, doktor pelatih itu ditugaskan di hospital berkenaan sejak tiga minggu lalu namun dipercayai terjatuh dari salah satu bangunan di situ lalu meninggal dunia.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong yang mengesahkan kejadian itu berkata, kes itu disiasat sebagai mati mengejut.
Bagaimanapun kata Soffian, polis tidak akan menolak akan mengklasifikasikan semula kes tersebut sekiranya menemui bukti baharu untuk dijalankan siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!