'Sedih tak sempat nak beraya sebab banjir'

Keadaan rumah Saudah di Kampung Jasa Sepakat yang dilanda banjir.
Keadaan rumah Saudah di Kampung Jasa Sepakat yang dilanda banjir.
A
A
A

PONTIAN - Aidilfitri kali ini dirasakan hambar buat penduduk di tiga buah kampung di daerah ini apabila kediaman dan harta benda rosak akibat banjir yang melanda sejak Rabu.

Kampung terbabit ialah Kampung Jasa Sepakat, Kampung Melayu Bukit Panjang dan Kampung Sri Gambut.

Tinjauan Sinar Harian mendapati beberapa rumah masih ditenggelami air, namun terdapat juga penduduk yang melakukan kerja-kerja pembersihan.

Penduduk Kampung Jasa Sepakat, Saudah Dahlan, 57, berkata, hujan lebat dan air pasang menyebabkan peningkatan paras air Sungai Pontian Kechil yang terletak hanya 50 meter dari rumahnya.

Katanya, keadaan itu mengundang bencana banjir yang disifatkan sebagai terburuk pernah dialami.

"Pada sebelah petang hari raya kedua, kawasan laman rumah sudah digenangi air. Kemudian pada jam 3 pagi esoknya, hujan lebat. Keadaan bertambah teruk apabila air sungai semakin meningkat dan menyebabkan banjir.

"Saya tidak sangka banjir berlaku ketika Aidilfitri. Dua tahun lalu, banjir pernah berlaku tetapi setakat di laman rumah sahaja. Tetapi kali ini air naik sehingga paras lutut atau kira-kira 0.3 meter," katanya.

Saudah (kanan) bersama anaknya Norzahidah (kiri) mengemas kuih raya selepas rumah mereka di Kampung Jasa Sepakat, Pontian dilanda banjir.
Saudah (kanan) bersama anaknya Norzahidah (kiri) mengemas kuih raya selepas rumah mereka di Kampung Jasa Sepakat, Pontian dilanda banjir.

Menurut Saudah, tiga orang anaknya bersama dua menantu yang pulang dari Pasir Gudang membantu membersihkan rumah selepas banjir mula surut pada pagi Khamis.

"Kampung Jasa Sepakat terletak berhampiran dengan sungai dan tali air menyebabkan kawasan rumah penduduk mudah dilanda banjir.

"Sungai perlu didalamkan dan sistem perparitan perlu ditambah baik bagi mengelak kejadian banjir lebih besar berlaku pada masa akan datang," katanya.

Anaknya, Norzahidah Mohd Azhar, 27, juga tidak dapat menahan kesedihan mengenangkan banjir berlaku ketika pulang ke kampung untuk berhari raya bersama keluarga.

"Tidak sempat nak beraya sejak balik kampung sebab banjir. Memang sedih tetapi saya bersyukur kerana dapat bantu ibu bersihkan rumah," katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Pontian, Mohd Rafi Abdullah berkata, setakat jam 12 tengah hari pada Khamis, seramai 168 mangsa banjir melibatkan 31 keluarga di daerah ini ditempatkan tiga pusat pemindahan sementara (PPS).

"Seramai 19 mangsa banjir dari Kampung Sri Segambut melibatkan empat keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya dan 117 mangsa banjir (20 keluarga) dari Kampung Jasa Sepakat ditempatkan di SK Sri Bunian.

"Seramai 31 mangsa banjir (dua keluarga) dari Kampung Bukit Panjang ditempatkan di SK Seri Bukit Panjang," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Katanya, semua mangsa banjir kilat tersebut dipindahkan ke PPS berkenaan susulan hujan lebat selama beberapa jam pada 5.30 pagi Rabu yang menyebabkan rumah mereka dinaiki air.

Kerja-kerja pembersihan rumah Saudah di Kampung Jasa Sepakat Pontian, dilakukan anak-anaknya yang pulang beraya selepas air mula surut pada pagi Khamis.
Kerja-kerja pembersihan rumah Saudah di Kampung Jasa Sepakat Pontian, dilakukan anak-anaknya yang pulang beraya selepas air mula surut pada pagi Khamis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!