14 sekolah tahfiz dikesan belum daftar JAIS

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM – Hanya 14 maahad tahfiz yang dikesan masih belum berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan satu daripadanya ditutup tahun lalu.

Menteri Besarnya, Amirudin Shari menjelaskan, kerajaan negeri mengambil langkah untuk mendaftarkan maahad tahfiz yang ada di Selangor kerana menyedari potensi institusi itu dalam melahirkan golongan huffaz.

“Kerajaan negeri menyedari kemampuan institusi ini dan sebab itu, mengambil langkah mendaftarkan lebih 200 maahad tahfiz dan merujuk rekod, hanya 14 maahad lagi masih belum berdaftar.

"Jika mahukan angka, maka ini adalah 14 (maahad tahfiz) yang menghadapi risiko ditutup kerana mereka sudah diberi tempoh penangguhan cukup. Satu sekolah yang ditutup mempunyai 25 pelajar dan dua guru," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan menjunjung kasih titah Sultan Selangor sempena Sidang DUN Selangor, hari ini.

Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan, semua sekolah tahfiz swasta yang tidak berdaftar dengan JAIS ditutup serta ditamatkan perkhidmatannya.

Baginda bertitah, pada masa ini ada sejumlah 15,000 pelajar tahfiz di 263 sekolah tahfiz swasta yang berdaftar dengan Jais.

“Beta menitahkan sekolah swasta tahfiz yang tidak berdaftar dengan Jais dan tidak mempunyai kokurikulum dan sistem pendidikan akademik moden hendaklah ditutup dan ditamatkan perkhidmatannya,” titah baginda.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!