PCCCI anjur ekspo percepat pemulihan ekonomi
IPOH - Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI) akan menganjurkan Ekspo Perdagangan Perak (PTE) dalam usaha membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi negeri.
Yang Dipertua PCCCI, Datuk Liew Chee Ming berkata, ekspo bertemakan Bersama Untuk Masa Depan Lebih Baik itu akan berlangsung pada 20 hingga 23 Oktober 2022 di Stadium Indera Mulia dekat sini.
Menurutnya, PTE tersebut dijangka akan menjadi ekspo terbesar di Perak sejak PCCCI menganjurkan PCCCI Centennial Trade Expo pada tahun 2007 serta Perak International Expo (PIEX) pada tahun 2019 bersama kerajaan negeri.
“Ekspo ini akan menjadi platform bagi pengilang dan komuniti Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Perak untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka.
"Kami berharap ekspo ini dapat mempercepat pemulihan ekonomi negeri kita daripada impak pandemik Covid-19 yang melanda dunia," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.
Chee Ming berkata, ekspo yang diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun PCCCI ke-115 ini akan melibatkan 433 gerai pameran daripada pelbagai sektor ekonomi termasuk hartanah, automotif, perabot, plastik, perkakasan, makanan dan minuman, perkhidmatan perniagaan, pelancongan, hotel, pendidikan dan sebagainya.
Menurutnya, selain itu, jabatan, agensi kerajaan serta bank turut dijemput mengambil bahagian dalam ekspo tersebut untuk membantu rakyat menyelesaikan masalah yang dihadapi selain menyediakan bantuan kewangan kepada komuniti perniagaan.
"Menariknya kali ini akan diadakan pertunjukan fesyen dan kasut, persembahan kebudayaan, pertunjukan seni mempertahankan diri, serta persidangan yang turut dianjurkan dalam ekspo ini.
"Satu lagi program kemuncak, iaitu pesta makanan membabitkan 54 gerai makanan yang turut diadakan serentak dengan ekspo," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!