Polis Kelantan periksa ketulenan pas sempadan elak pemalsuan

Muhamad Zaki (kiri) semasa turun padang melakukan tinjauan di Kompleks ICQS, Rantau Panjang sempena pembukaan sempadan darat Malaysia-Thailand pada Khamis.
Muhamad Zaki (kiri) semasa turun padang melakukan tinjauan di Kompleks ICQS, Rantau Panjang sempena pembukaan sempadan darat Malaysia-Thailand pada Khamis.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Polis Kelantan akan melakukan pemeriksaan dengan lebih teliti pas sempadan setiap penduduk yang mahu ke Thailand bagi memastikan ia tulen.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, langkah itu bertujuan mengelakkan wujudnya unsur-unsur penipuan berkait dengan pas berkenaan.

"Untuk itu kita telah mendapat maklumat yang khusus berkait dengan ciri-ciri keselamatan pas sempadan daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan selain tatacara keluar masuk warga tempatan ke Thailand.

"Selain itu, kita juga dapat tahu bagaimana tatacara kemasukan warga Thailand ke negara ini bagi memudahkan pemantauan dilakukan kerana kita masih dalam fasa peralihan endemik" katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa turun padang melakukan tinjauan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Rantau Panjang sempena pembukaan sempadan darat Malaysia-Thailand di sini pada Khamis.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisoner Mohd Nasaruddin M Nasir.

Muhamad Zaki (kiri) beramah mesra dengan orang ramai di Kompleks ICQS Rantau Panjang yang hadir untuk merentas sempadan.
Muhamad Zaki (kiri) beramah mesra dengan orang ramai di Kompleks ICQS Rantau Panjang yang hadir untuk merentas sempadan.

Menurutnya, tindakan itu setidak-tidaknya dapat membantu mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Beliau berkata, selain pas sempadan ketulenan sijil vaksinasi yang sudah lengkap dengan dua dos juga akan turut diperiksa.

"Ini kerana rakyat negara jiran yang masuk ke negara ini akan menggunakan Thai Pas manakala warga tempatan menggunakan aplikasi MySejahtera untuk sijil vaksinasi.

"Malah kawalan sempadan turut akan diperketatkan agensi di bawah polis seperti Pasukan Polis Marin (PPM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA)," jelasnya.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata, kawalan itu bagi memastikan tiada aktiviti rentas sempadan menggunakan laluan yang tidak diwartakan berlaku selepas pintu utama dibuka.

"Selain rondaan rutin di sempadan, kita juga akan memperketatkan lagi pemeriksaan di semua sekatan jalan raya (SJR) bagi mengekang aktiviti ini.

"Tidak cukup dengan itu, unit rondaan kereta polis (MPV) dan unit rondaan bermotosikal (URB) akan turut diperhebatkan," ujarnya.

Menurutnya, tindakan ini bagi memastikan setiap lapisan kawalan di sempadan berada dalam keadaan ketat.

"Kita tidak menolak kemungkinan akan berlaku peningkatan kemasukan secara tidak sah ke negara ini menggunakan laluan tidak diwartakan.

"Oleh itu, kita telah bersiap sedia untuk berdepan sebarang kemungkinan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!