Sultan Mizan bertemu ‘Mowgli Malaysia’
KUALA TERENGGANU - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan bertemu remaja tular, Muhammad Syukur Khamis, 14, yang diberi gelaran 'Mowgli Malaysia' dalam pertemuan tertutup yang diadakan di Istana Badariah, di sini, semalam.
Pertemuan berlangsung lebih setengah jam itu turut dihadiri jurugambar, Mohd Nazri Sulaiman, ibu dan bapa Syukur; Azizah Mamat, 58 dan Khamis Jusoh, 64, serta Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin, Abu Hasmadi A. Bakar.
Mohd Nazri ketika dihubungi Sinar Harian berkata, dalam pertemuan itu, Sultan Mizan menzahirkan rasa terima kasih dan berbangga atas usaha menonjolkan negeri Darul Iman ini sehingga dikenali di persada dunia.
Katanya, Baginda Sultan turut menyampaikan surat penghargaan dan sumbangan menerusi pertemuan yang dikelolakan oleh Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) itu.
"Dalam pertemuan itu, baginda menyatakan rasa terima kasih dan bangga atas usaha dan kejayaan yang dicapai sehingga Terengganu dikenali di peringkat antarabangsa," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Nazri berkata, beliau terharu dan berbesar hati setelah Sultan Mizan berkenan untuk menerima kunjungan dan meluangkan masa untuk bertemu mereka.
"Saya bersyukur, terharu dan gembira apabila baginda tuanku berkenan menerima kami menghadap.
"Saya kira ini adalah penghargaan yang begitu bermakna dan akan terpahat dalam ingatan," katanya.
Mohd Nazri turut menyampaikan rakaman potret Muhammad Syukur hasil bidikannya yang memenangi pertandingan fotografi peringkat Asia kepada Sultan Mizan.
Gambar itu memaparkan pelajar tingkatan dua SMK Padang Midin itu sebagai subjek utama duduk bersandarkan seekor kerbau di kawasan lumpur dengan sekumpulan lagi kerbau berkerumun di belakangnya.
Karya itu diangkat sebagai Imej Asia 2018 oleh Asian Geographic, bagi kategori Jalanan/Orang Terbaik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!