4.5 juta kenderaan dijangka berada di jalan raya hingga Ahad
KUALA LUMPUR - Polis menjangkakan sebanyak 4.5 juta kenderaan berada di atas jalan raya di seluruh negara selama empat hari bermula Khamis susulan orang ramai pulang ke kediaman masing-masing selepas sambutan Aidilfitri.
Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Superintendan Dr Bakri Zainal Abidin berkata, bagaimanapun trend pergerakan pulang itu dijangka menyaksikan peningkatan yang ketara mulai Jumaat.
"Sebanyak 1.2 juta daripada jumlah kenderaan tersebut dianggarkan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS),” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Pada 6 April lepas, Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim dilapor berkata, sebanyak 4.7 juta kenderaan dijangka berada di atas jalan raya di seluruh negara sempena Aidilfitri dan pihaknya mengatur gerak seramai 6,559 pegawai dan anggota trafik di peringkat kontinjen dan daerah bagi memastikan kelancaran serta keselamatan trafik.
Sementara itu, Bakri berkata, susulan jangkaan itu, JSPT telah membuat persiapan menerusi Op Lancar atau penyuraian aliran trafik bagi tujuan melancarkan pergerakan kenderaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!