Ibu gembira bertemu anak selepas tiga tahun
MELAKA - Syawal kali ini amat bermakna buat Mas Rika Sukemi, 44, yang akhirnya dapat bertemu anak sulungnya Syafiq Aditya Ababil, 22, selepas tiga tahun, ekoran penutupan sempadan akibat pandemik Covid-19.
Beliau yang menetap di Kampung Melayu Subang berkata, mereka sekeluarga amat bersyukur apabila mengetahui mengenai pengoperasian semula perkhidmatan feri dari Dumai, Indonesia ke Melaka bermula Khamis.
Mas Rika berkata, sebelum pandemik, anaknya yang menetap di Dumai bersama datuknya sering ke Malaysia, namun sejak penutupan sempadan antara kedua-dua negara itu mereka hanya berhubung menerusi panggilan video.
"Rasa sangat teruja dan kami juga telah menyediakan pelbagai juadah seperti lemang, ketupat palas, rendang dan sebagainya untuk menyambut kepulangannya," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.
Terdahulu seramai 175 orang penumpang dari Dumai yang menaiki perkhidmatan Feri Indomal Kingdom selamat tiba pada jam 12.30 tengah hari di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Kota Laksamana.
Ketibaan mereka disambut Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis.
Sementara itu, Helda Anna Ibrahim, 61, dari Dumai berkata, pengoperasian semula feri itu membolehkannya untuk berulang alik ke Melaka bagi mendapatkan semula rawatan penyakit kanser di sebuah hospital swasta di sini.
Bekas guru itu berkata, sebelum ini dia telah menjalani rawatan serta pembedahan di Melaka, bagaimanapun sepanjang tempoh penutupan sempadan beliau tidak dapat melakukan pemeriksaan kesihatan susulan.
Sementara itu, Muhammad Jailani berkata, kerajaan negeri menyasarkan kedatangan seramai satu juta pelancong dari Indonesia sehingga akhir tahun ini, selain akan terus mempergiat promosi pelancongan di negara jiran itu.
Katanya, pelancongan kesihatan adalah antara yang menjadi tumpuan utama kemasukan pengunjung ke Melaka yang ingin mendapatkan rawatan di empat hospital swasta di negeri ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!