Bekas pekerja Channel W gesa kerajaan ambil tindakan terhadap majikan
KUALA LUMPUR - Beberapa bekas petugas media Channel W hari ini menyerahkan satu memorandum kepada kerajaan bagi menggesa tindakan tegas diambil terhadap bekas majikan mereka yang didakwa menganiayai 15 pekerja yang pernah bekerja di situ.
Memorandum tersebut dihantar bekas petugas Channel W Mohd Haizal Yatiran yang juga menuntut pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKM) serta Kementerian Sumber Manusia campur tangan dalam isu itu.
“Kami harap tindakan tegas pada majikan yang menganiaya sebagai rujukan untuk orang lain agar kes seperti ini tidak berlaku. Mereka tidak memberikan sebarang hitam putih urusan pelantikan, bahkan gaji kami turut mengalami masalah selain ada antara kami yang menerima cek tendang.
“Kami juga mahu pihak KKM tegas dengan senarai hitamkan pihak terlibat. Jangan berikan mereka lesen penyiaran,” katanya selepas menyerahkan memorandum berkenaan kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia Lim Eng Hock di hadapan pintu masuk Parlimen.
Mohd Haizal turut menekankan kepentingan penubuhan Majlis Media Malaysia dalam mengangkat isu seperti ini bagi melindungi hak petugas media dalam negara.
Media sebelum ini melaporkan bekas pekerja Channel W yang disiarkan melalui MyTV merujuk masalah gaji mereka ke Jabatan Tenaga Kerja selepas tuntutan kepada pihak majikan masih belum ditunaikan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!