Piala Uber: Peluang balas dendam
BAKAL berdepan Denmark dalam saingan peringkat kumpulan Piala Uber 2022 di Bangkok, Thailand bulan ini akan menjadi medan terbaik kepada pasukan kebangsaan untuk membalas dendam atas kekecewaan pada edisi lalu.
Skuad muda negara yang tumpas 1-4 kepada Denmark selaku tuan rumah pada kejohanan yang berlangsung di Aarhus pada tahun lalu itu, kini tampil dengan lebih pendedahan dan berpengalaman untuk mencabar Denmark dalam mencerahkan peluang melangkah ke suku akhir.
Pemain beregu wanita negara Teoh Mei Xing berkata, dia percaya rakan sepasukannya kini lebih baik dan akan mempamerkan peningkatan prestasi berbanding edisi lalu, walaupun skuad negara masih dianggap tidak sekuat Denmark.
“Saya harap boleh membalas dendam kerana kami sudah menunjukkan perubahan, kita pun dah bertambah baik. Selepas masa yang panjang (beberapa bulan), saya rasa kami yang baru ini akan memberi saingan.
“Pasukan Denmark juga kuat, mereka mempunyai pemain di kedudukan 20, 30 teratas dunia. Tetapi kita akan lakukan yang terbaik,” kata pemain berusia 25 tahun itu baru-baru ini.
Pada edisi kali ini dari 8 hingga 15 Mei depan, Denmark sekali berkemungkinan besar dibarisi pemain perseorangan wanita nombor 14 dunia Mia Blichfeldt, Line Christophersen (22) dan beregu nombor 16 dunia Maiken Fruergaard-Sara Thygesen.
Pada edisi lalu, skuad negara gagal mara ke suku akhir selepas dibenam 5-0 oleh China dan 4-1 oleh Kanada, selain kekalahan kepada Denmark.
Selain Denmark, Malaysia yang diundi dalam Kumpulan C, turut berdepan cabaran getir dari Thailand dan Mesir.
Skuad Piala Uber negara kali ini terdiri daripada barisan pemain muda seperti S Kisona, Goh Jin Wei, Eoon Qi Xuan, Pearly Tan, M Thinaah, manakala Mei Xing, Anna, Myisha Mohd Khairul, Tan Zhing Yi, Low Yeen Yuan, Valeree Siow, Chan Wen Tse dan Teoh Mei Xing bakal membuat penampilan pertama. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!