Pembaziran makanan di Aidilfitri harus dikawal
KEMERIAHAN sambutan Aidilfitri hari ke-lima masih terasa dan suasana kali ini akan berlanjutan sehingga penghujung Syawal.
Dengan prosedur baharu yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), akhirnya Keluarga Malaysia menyambut dalam keadaan meriah namun tidak mengabaikan asas penjagaan diri iaitu pemakaian pelitup muka dan sanitasi tangan bagi membendung penularan Covid-19.
Aktiviti yang paling dinanti-nantikan adalah rumah terbuka atau penganjuran majlis hari raya turut dibenarkan dengan syarat memakai pelitup muka di tempat tertutup dan digalakkan memakai untuk tempat terbuka.
Bagaimanapun konsep 'raya sebulan' menjadi trend. Selagi Syawal belum berakhir, sambutan hari raya diraikan dalam tempoh itu dan kebiasaannya minggu kedua pasti dipenuhi dengan undangan rumah terbuka dari agensi kerajaan, badan korporat dan orang perseorangan.
Konsep hidangan secara bufet menjadi pilihan kerana memudahkan tetamu yang hadir menikmati juadah tambahan dengan menunya yang pelbagai.
Namun yang menarik perhatian ketika menghadiri rumah terbuka adalah soal pembaziran hinggakan ada yang mengambil melebihi keperluan tekak.
Kadangkala ada meja makan dipenuhi pinggan mangkuk yang dipenuhi makanan yang tidak terusik dan akhirnya dibiarkan membazir begitu sahaja.
Ibnu Mas'ud menjelaskan pembaziran adalah perbuatan mengeluarkan atau menggunakan harta pada jalan yang tidak betul iaitu pada jalan yang diperintahkan oleh ALLAH serta tidak berlandaskan tuntutan sunah Rasulullah SAW.
Islam amat melarang umatnya melakukan pembaziran sehinggakan ALLAH SWT menyifatkan orang yang suka membazir itu sebagai saudara syaitan. Firman ALLAH yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang melakukan pembaziran adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya" (Surah al-Isra', ayat 27)
Peningkatan sisa makanan
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan baru-baru ini mendedahkan rakyat di negara ini menghasilkan sebanyak 38,000 tan sisa pepejal sehari dan daripada jumlah itu, sebanyak 17,000 tan adalah sisa makanan merangkumi 44.5 peratus daripada keseluruhan komposisi sisa pepejal.
Daripada jumlah itu, 24 peratus adalah sisa makanan yang boleh dielakkan iaitu lebihan makanan seperti nasi, pasta, daging dan sayur-sayuran dan jumlah itu mampu memberi makan tiga juta orang sehari untuk tiga kali makan.
Trend peningkatan sisa makanan ini dilihat berlaku antara 15 hingga 20 peratus pada musim perayaan sekali gus memberi kesan jangka panjang kepada kelestarian alam.
Sisa makanan di tapak pelupusan sampah menghasilkan gas metana tinggi. Gas ini didapati 21 kali ganda berbahaya daripada gas karbon dioksida dan menjadi gas perosak lapisan ozon yang utama. Selain itu, ia membentuk larutan resapan sangat kotor yang membahayakan kepada sungai dan sumber air bawah tanah.
Pembaziran makanan secara berterusan boleh mengakibatkan jaminan bekalan makanan negara terjejas.
Justeru itu, Belanjawan 2022 turut memberi fokus terhadap usaha memperkasa jaminan makanan negara supaya negara tidak terlalu bergantung kepada sumber makanan import untuk jangka panjang.
Kementerian turut menganjurkan kempen Hargai Makanan, Elak Pembaziran #JomTapau yang bertujuan untuk mengurangkan pembaziran makanan serta menurunkan jumlah sisa makanan yang dilupuskan di tapak pelupusan sampah.
Inisiatif yang diperkenalkan sejak 2015 itu dianjurkan supaya masyarakat digalakkan untuk membungkus atau menyimpan lebihan makanan bagi mengelakkan ia dibazirkan.
Kesucian Aidilfitri perlu disambut dengan kesyukuran tanpa dicemari dengan pembaziran. Keberkatan meraikan tetamu buatlah secara sederhana dan lebih berhemah.
Usaha mengurangkan pembaziran makanan akan lebih berkesan bermula dengan diri kita sendiri. Penganjur perlu memastikan penyediaan juadah adalah memadai dengan jumlah jemputan.
* Noor Ainon Mohamed Yusof ialah wartawan Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!