Op Selamat 18: Polis Pulau Pinang keluar 9,685 saman

No Image Caption
A
A
A

GEORGETOWN - Polis Pulau Pinang mengeluarkan hampir 10,000 saman kepada pemandu kenderaan atas pelbagai kesalahan dalam Op Selamat 18 peringkat negeri sempena Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Jabatan Trafik dan Ketenteraman Awam Pulau Pinang, Superintendan Zafri Zolkapli berkata, antara kesalahan utama adalah memandu di lorong kecemasan; memotong di garisan berkembar; memotong barisan; melanggar lampu isyarat merah, menggunakan telefon semasa memandu dan memandu melebihi had laju.

"Sejak bermulanya Op Selamat peringkat negeri sehingga Rabu, kita telah mengeluarkan sebanyak 9,685 saman.

"Dalam tempoh itu, kita juga merekodkan sebanyak 803 kemalangan jalan raya dengan lapan kematian,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Zafri berkata, 2.3 juta kenderaan dipercayai memasuki Pulau Pinang sejak Jumaat lalu.

"Secara keseluruhannya, aliran trafik masih lancar di kebanyakan jalan raya. Bagaimanapun, di Lebuhraya Utara Selatan (NSE) berhampiran Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua, dilaporkan trafik sesak," katanya lagi.

Sebelum ini, Polis Pulau Pinang menjangka jumlah kenderaan yang melalui Pulau Pinang untuk menuju ke kawasan utara meningkat sehingga 3.6 juta ketika orang ramai pulang ke kampung menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, selain itu, pihak polis juga menjangka kira-kira 1 juta kenderaan akan memasuki Pulau Pinang.

18 April lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, lima kesalahan lalu lintas utama termasuk melanggar lampu isyarat merah yang dilakukan dalam tempoh Op Bersepadu antara 29 April hingga 8 Mei tidak akan dikenakan kompaun.

Sebaliknya, beliau berkata, pesalah bagi lima kesalahan trafik yang lain perlu menyelesaikan kes mereka di mahkamah.

Lima kesalahan itu adalah memandu di lorong kecemasan; menggunakan telefon semasa memandu; melangga lampu isyarat merah, memandu melebihi had laju dan menukar lorong secara melulu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!