Hati-hati dengan 'scammer' durian

Orang ramai diminta berhati-hati dengan urusan jual beli durian melalui dalam talian yang dipercayai didalangi sindiket penipuan di negeri ini. - Gambar hiasan
Orang ramai diminta berhati-hati dengan urusan jual beli durian melalui dalam talian yang dipercayai didalangi sindiket penipuan di negeri ini. - Gambar hiasan
A
A
A

GEORGETOWN - Orang ramai diminta berhati-hati dengan urusan jual beli durian melalui dalam talian yang dipercayai didalangi sindiket penipuan di negeri ini.

Polis Daerah Timur Laut dalam satu kenyataan di Facebook berkata, kes penipuan pembelian durian dalam talian mula meningkat di daerah itu menjelang musim durian yang bakal tiba tidak lama lagi.

Menurutnya, ahli sindiket akan mengiklankan penjualan durian dengan harga yang murah di media sosial antaranya Facebook dan Instagram.

"Mangsa yang tertarik dengan iklan tersebut akan berurusan dengan ahli sindiket melalui aplikasi Whatsapp berdasarkan nombor telefon yang tertera pada iklan berkenaan.

"Mangsa kemudiannya diarahkan klik pada pautan yang diberikan dan memuat turun aplikasi 'D4 Durian' untuk membuat bayaran.

"Apabila mangsa klik pada pautan yang diberikan, ia akan membawa halaman yang menyerupai 'FPX Transaction ' dan sebaik sahaja mangsa memasukkan 'username' dan kata laluan, sistem pembayaran tersebut akan tergendala," katanya.

Katanya lagi, mangsa akan menerima mesej dari pihak bank bahawa berlaku pemindahan wang dari akaun mangsa ke akaun pihak ketiga dalam jumlah yang tinggi daripada harga pembelian tersebut.

"Orang ramai dinasihatkan agar jangan sesekali memuat turun sebarang aplikasi yang tidak pasti ketulenannya.

"Selain itu, kita juga menasihatkan orang ramai supaya jangan mendedahkan 'username, kata laluan atau apa-apa maklumat perbankan kepada pihak ketiga," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!