Dua maut, lima cedera kemalangan babit lima kenderaan
JEMPOL - Dua maut dan lima cedera dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Besar Palong 4 di sini, pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.07 tengah malam itu, mangsa yang maut ialah Mohd Azharruddin, 34, dan Nor Rohaini, 62, yang beralamat dari Felda Palong 12, Gemas.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, kemalangan itu melibatkan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora, dua MPV Toyota Avanza dan sebuah lori jenis Nissan UD.
"Ketika kejadian, mangsa menaiki kereta Toyota Avanza yang dipandu seorang wanita berusia 29 tahun bersama tiga lagi penumpang lain.
"Siasatan awal mendapati, sebuah Proton Exora dipandu seorang lelaki berusia 37 tahun dalam perjalanan pulang ke Melaka dari Dungun, Terengganu hilang kawalan dan melanggar tayar belakang sebelah kanan lori Nissan UD dari arah bertentangan yang dipandu lelaki berusia 39 tahun," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Ujarnya, pada masa sama MPV itu turut melanggar sebuah Proton Exora lain dan Toyota Avanza dinaiki mangsa dari arah bertentangan.
Tambah beliau, sebuah Toyota Avanza dipandu lelaki berusia 22 tahun dari arah belakang gagal mengelak lalu melanggar Proton Exora terbabit.
"Mohd Azharruddin dan Nor Rohaini yang merupakan penumpang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada bahagian kepala.
"Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Jempol untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!