Kelantan perlu bina empangan Lebir, Nenggiri
RANTAU PANJANG -Masalah kekurangan air pada musim kemarau yang sering melanda negeri ini mampu diatasi sekiranya projek pembinaan dua empangan iaitu Lebir dan Nenggiri direalisasikan.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Kamal Mustapha berkata, pembinaan empangan yang bertindak sebagai kawasan tadahan dilihat sudah menjadi keperluan mendesak dalam usaha menyelesaikan masalah kekurangan air pada musim kemarau pada masa depan.
"Empangan yang ada ketika ini (Bukit Kwong, Rantau Panjang dan Pergau, Jeli) bukan untuk kawasan tadahan. Bukit Kwong untuk pengairan kawasan sawah di Rantau Panjang manakala Pergau (Jeli) untuk bekalan tenaga hidro elektrik.
"Sumber bekalan air di negeri ini banyak tertumpu di kawasan hulu Kelantan namun, disebabkan oleh ketiadaan kemudahan empangan menyebabkan ia tidak dapat ditakung," katanya ketika diminta mengulas mengenai isu kemarau di negeri ini.
Terdahulu Kamal bersama pegawainya meninjau keadaan paras air di empangan Bukit Kwong, Lubok Stol di sini hari ini.
Menurutnya, situasi itu akan memberikan kesan besar setiap kali tibanya musim kemarau apabila rumah-rumah pam tidak tidak dapat beroperasi disebabkan oleh penyusutan paras air sungai.
"Bila sumber air di kawasan hulu Kelantan tidak dapat ditakung, ia akan terlepas begitu sahaja. Jadi pada musim kemarau kita tidak dapat guna.
"Jika ada empangan di Kelantan, sumber air pada musim hujan kita dapat takung dan lepaskan ke sungai apabila tiba musim kemarau," katanya.
Kamal berkata, JPS berharap projek pembinaan empangan di negeri ini dapat direalisasikan demi kepentingan rakyat walaupun ia menelan belanja yang amat besar.
Katanya, seandainya tiada dua empangan besar dibina di negeri ini JPS terpaksa mewujudkan empangan kecil di beberapa kawasan sekitar Machang dan Tanah Merah serta di Pasir Mas untuk atasi masalah di musim kemarau.
Kamal berkata, cadangan pembinaan kedua-dua empangan itu sudah berada dalam pelan jangka panjang bagi mengatasi masalah kemarau di Kelantan.
Difahamkan, projek kedua-dua empangan ini akan menelan belanja sekitar RM8 bilion.
Mengulas mengenai paras air di empangan Bukit Kwong, Kamal berkata ia mampu bertahan selama 68 hari lagi bermula hari ini.
Katanya, ia mengambil faktor penyusutan sebanyak 0.03 meter sehari.
"Ketika ini paras air di Bukit Kwong berada pada paras 13.94 meter dan masih lagi boleh beroperasi.
"Paras kritikal di empangan ini ialah 12.20 meter. Buat masa ini saya boleh katakan ia berada pada tahap serius.
"Kita juga sudah mengadakan langkah-langkah penjimatan untuk mengatasi masalah kekurangan air di musim kemarau tahun ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!