'Alhamdulillah, Kota Bharu selamat'

Mohd Rosdi (kanan) meninjau Op Selamat 18 di Stesen Bas Kota Bharu, Lembah Sireh malam Khamis.
Mohd Rosdi (kanan) meninjau Op Selamat 18 di Stesen Bas Kota Bharu, Lembah Sireh malam Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu tidak menerima sebarang aduan berkaitan insiden yang boleh menimbulkan keresahan masyarakat sepanjang Op Selamat 18 bermula 27 April lalu hingga Khamis.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, bagaimanapun pihaknya sentiasa memperketatkan rondaan dan pemantauan bagi memastikan tahap keselamatan awam terus berada dalam keadaan baik.

“Orang ramai tidak perlu risau dan boleh meneruskan aktiviti seperti biasa,” katanya ketika meninjau Op Selamat 18 di Stesen Bas Kota Bharu, Lembah Sireh, di sini pada Khamis malam.

Turut serta dalam operasi itu ialah pegawai dan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan.

Menurutnya, sepanjang tempoh musim perayaan, IPD Kota Bharu menerima sebanyak 75 borang balik kampung yang diisi oleh penduduk.

Katanya, langkah ini membolehkan polis melakukan pemantauan berkala di kawasan rumah berkenaan dalam usaha pencegahan jenayah sekali gus memastikan suasana selamat.

Mohd Rosdi turut memaklumkan, Op Selamat 18 yang bermula 27 April lalu juga tidak mencatatkan sebarang kemalangan maut di Kota Bharu.

Dalam perkembangan lain, pihaknya menjangkakan kesesakan kenderaan yang dialami akibat musim perayaan akan berakhir hujung minggu ini.

"Kita akan terus mengambil langkah terbaik mengawal lalu lintas.

"Hal ini bagi memastikan aliran trafik di sekitar Kota Bharu berjalan lancar sehingga tamatnya musim perayaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!