Tumpang tandas sebelum serang dengan parang
KOTA TINGGI - Sepasang suami isteri bersama anak mereka berdepan detik cemas selepas diacukan parang oleh seorang lelaki dalam kejadian di kediaman pasangan itu di Felda Easter kira-kira jam 8.45 pagi Khamis.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, sebelum kejadian keluarga terbabit didatangi seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30 tahun yang menyatakan mahu menumpang tandas.
"Pemilik rumah memberi kebenaran kepada lelaki itu untuk menggunakan tandas di rumahnya. Anak lelaki pemilik rumah berusia lingkungan 30 tahun kemudiannya ternampak lelaki itu cuba memasuki salah sebuah bilik.
"Ketika cuba menghalang perbuatan berkenaan, suspek bersikap agresif dan mengambil parang milik tuan rumah sebelum menyerang pemilik rumah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Jelasnya, pergelutan antara pemilik rumah berusia lingkungan 60 tahun dan anak lelakinya bersama suspek menyebabkan mereka mengalami kecederaan ringan.
"Bagaimanapun, jeritan isteri warga emas terbabit menyebabkan beberapa jiran bergegas membantu meleraikan keadaan dan menangkap suspek.
"Pemilik rumah dan anaknya mengalami kecederaan ringan dan mendapatkan rawatan di bahagian pesakit luar di hospital. Suspek yang turut cedera dirujuk ke hospital untuk rawatan," katanya.
Hussin berkata, hasil ujian saringan urin mendapati suspek positif dadah jenis methampetamine.
"Semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan senjata tajam (parang)," katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menghubungi polis jika ada individu tidak dikenali berlegar-legar di kawasan perumahan dan dalam keadaan mencurigakan.
"Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak bertindak sendiri dan mematuhi undang-undang ditetapkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!