Kisah raya, pengorbanan dan samudera biru
BAGI kebanyakan rakyat Malaysia, Hari Raya adalah masa untuk bersama yang tersayang.
Ada yang akan membuat perjalanan jauh untuk meluangkan masa dengan keluarga dan saudara-mara.
Harapan untuk dapat berjumpa dengan mereka seakan memberi semangat untuk menempuh perjalanan yang memakan masa yang panjang dan kadang-kadang penuh dengan cabaran.
Namun, bagi sekumpulan kecil yang istimewa, Hari Raya adalah hari bekerja yang sibuk dan jauh daripada keluarga yang dicintai.
Saya sekali lagi merasa bertuah kerana dapat bersama mereka yang istimewa ini untuk sedikit waktu.
Pada 22 Mei tahun lepas, saya ada menulis mengenai mereka yang berada beratus batu jauhnya dari tanah besar, yang bertugas menjaga kedaulatan maritim negara.
Tahun ini, saya berpeluang pula untuk berjumpa satu lagi kumpulan yang bertugas di lokasi yang berbeza.
Pangkalan Operasi Hadapan (Forward Operation Base - FOB) di perairan Sabah Timur ini dianggotai mereka daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Merekalah yang dikerah apabila keadaan memerlukan.
Seperti rakan-rakan seperjuangan di tempat lain, Hari Raya adalah hari bekerja sebagaimana biasa.
Mereka kekal siapsiaga untuk sebarang kemungkinan.
Bagi mereka ini, tidak ada masa untuk membeli baju raya, membantu isteri menyiapkan rumah dan tiada juga masa untuk bersalaman bersama keluarga tersayang di pagi Aidilfitri.
Adalah ironik apabila dilihat sangat sedikit kesedaran atau perhatian masyarakat terhadap mereka ini, yang menjaga kepentingan negara sebilang masa.
Apa pendapat pembaca budiman?
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!