Tavernier bangga Rangers ke final
PEMAIN pertahanan Rangers, James Tavernier berbangga apabila gergasi Liga Scotland, Rangers mara ke final Liga Europa setelah menewaskan gergasi Bundesliga, RB Leipzig 3-1 (aggregat 3-2) pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Ibrox, pada Jumaat.
Menurut pemain berusia 30 tahun itu, setelah tewas 0-1 pada aksi separuh akhir pertama di Red Bull Arena Leipzig, 29 April lalu, pihaknya agak ragu-ragu mengenai peluang skuad The Gers itu untuk mara ke final kali ini.
Bagaimanapun katanya, kesemua pemain membuktikan mereka mampu bangkit daripada kekalahan berkenaan dan seterusnya menempah slot beraksi di final Liga Europa kelak.
“Ia sesuatu yang menakjubkan. Setelah tewas pada separuh akhir pertama, kami tidak rasa mampu bangkit dan menempah slot ke final.
“Apa pun, pemain-pemain telah membuktikannya (kebangkitan) dan kami kini berada di pentas final.
“Oleh itu, fokus kami kini adalah untuk membawa pulang piala ini ke Scotland dan menjadi kebanggan kepada semua orang,” katanya.
Pada aksi separuh akhir kedua berkenaan, Tavenier membuka jaringan pada minit ke-18 sebelum Glen Kamara menjaringkan gol kedua pada minit ke-24.
Pemain RB Leipzig, Christopher Nkunku kemudiannya merapatkan jurang menerusi gol pada minit ke-70, namun John Lundstram meledak gol ketiga buat Rangers pada minit ke-80 bagi memastikan kemenangan.
Sementara itu Tavernier mahu pemain kini memberikan fokus untuk mengharungi aksi final nanti selain menetapkan sasaran untuk membawa pulang trofi kejuaraan.
Katanya, kesemua pemain juga telah diingatkan untuk beraksi dengan sehabis baik pada aksi final berkenaan bagi merealisasikan kemenangan.
“Kali terakhir kami beraksi di final pentas Eropah seperti ini adalah pada 2008 di mana Europa League dikenali sebagai Piala UEFA (UEFA Cup).
“Kini kami di final sekali lagi dan sudah tentu peluang keemasan seperti ini tidak akan dipersia-siakan begitu sahaja,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!