Hikmah dakwah di sebalik musibah

A
A
A

SELURUH dunia termasuk Malaysia menangisi tragedi hitam yang menimpa umat Islam apabila 50 jiwa terkorban dalam serangan pengganas kulit putih ke atas dua masjid di Christchurch, New Zealand baru-baru ini.

Lebih menyedihkan lagi, seorang remaja dan tiga lelaki dewasa rakyat Malaysia turut menjadi mangsa. Remaja berusia 17 tahun itu telah terkorban manakala tiga mangsa lagi cedera akibat terkena tembakan. Kejadian ini berpunca daripada etnosentrisme dan Islamofobia serta salah faham tentang agama Islam dan ajarannya.

Pengganas berkenaan turut merakam secara langsung perbuatan membunuh tersebut bagi menyampaikan mesej kebenciannya terhadap Islam dan penganutnya. Dia menjadikan sentimen anti pendatang Islam sebagai antara motif pembunuhan tersebut. Serangan yang berlaku tidak menggambarkan sikap sebenar penduduk New Zealand secara umumnya meskipun majoriti mereka beragama Kristian.

Saya kagum dengan semangat umat Islam di New Zealand yang berjaya mengawal emosi dan tidak bertindak balas terhadap provokasi tersebut kerana ia bercanggah dengan ajaran Islam. Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, sendiri mengutuk serangan itu dan menganggapnya sebagai satu serangan pengganas paling buruk dalam sejarah negara itu.

Firman ALLAH SWT, “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: ‛Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun (Sesungguhnya kami adalah kepunyaan ALLAH dan kepada ALLAH jualah kami kembali).’ Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.” (Surah Al-Baqarah, ayat 155-158)

Di sebalik musibah ini, tersingkap beberapa hikmah. Antaranya, sidang Parlimen New Zealand pada Selasa lalu telah dibuka dengan bacaan ayat suci al-Quran dan doa oleh Imam Nizam ul-haq Thanvi.

Peristiwa ini amat mengharukan sehingga beberapa Ahli Parlimen dilihat menitiskan air mata. Perdana Menteri New Zealand turut memberikan ucapan “Assalamualaikum” pada pembukaan sesi Parlimen selain memakai selendang bagi menghormati rakyatnya yang beragama Islam.

Surat khabar utama New Zealand, The Press, juga telah menyiarkan perkataan “Salam” dalam bahasa Arab serta terjemahannya yang bermaksud keamanan (peace) pada muka hadapannya bagi menggambarkan bahawa Islam adalah agama keamanan.

Artikel Berkaitan:

Satu lagi perkembangan positif adalah apabila azan semasa solat Jumaat telah disiarkan secara langsung di seluruh New Zealand selain seluruh rakyatnya dikehendaki berdiam diri selama dua minit bagi bertafakur dan menunjukkan sokongan kepada masyarakat Islam.

Dalam keadaan masyarakat seantero dunia menjadi peka terhadap Islam lanjutan peristiwa ini, telah terbuka ruang yang luas dan peluang yang sangat baik bagi seluruh umat Islam untuk memberikan penerangan dan maklumat sebenar tentang Islam selain mempamerkan akhlak yang mulia sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW.

Konsep dakwah bil hal, iaitu dakwah melalui akhlak dan tingkah laku yang mulia, perlu diterapkan kerana ia merupakan pendekatan terbaik untuk menonjolkan keindahan Islam kepada mereka yang belum mengenali Islam dan memantapkan lagi pemahaman tentang Islam bagi yang lain sehingga mudah-mudahan membuka pintu hidayah bagi mereka.

Saya juga terharu melihat satu rakaman video yang menunjukkan seorang pemuda berbaju Melayu dan bersampin melaungkan azan dengan suara yang merdu di sebuah stadium di Otago, di selatan New Zealand. Stadium tersebut dibanjiri oleh penduduk New Zealand yang bukan Islam tetapi ingin mengenali Islam dengan lebih dekat lagi.

Wanita bukan Islam termasuk Perdana Menteri New Zealand turut memakai selendang bagi menzahirkan semangat perpaduan dan sokongan mereka terhadap masyarakat Islam. Malah, ramai antara mereka turut mendengar khutbah semasa solat Jumaat yang lepas dan ini berlaku di seluruh New Zealand, bukan hanya di Christchurch.

Ini termasuk khutbah yang disampaikan oleh seorang rakyat Malaysia yang merupakan bekas pelajar Maktab Tentera Diraja, Shazly Khan, Imam Masjid Khadija di pekan Hamilton, New Zealand.

Semoga sinar dakwah Islamiah akan terus berkembang bukan sahaja di New Zealand, malah di seluruh dunia.

*Johari Yap ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!