Lima generasi Abdul Fattah berkumpul sambut Aidilfitri
PONTIAN - Bukan mudah untuk mengumpulkan sanak saudara dari lima generasi untuk bersama-sama meraikan Aidilfitri apatah lagi melibatkan ahli keluarga yang besar kira-kira seramai 300 orang.
Bagaimanapun ia bukan penghalang buat keluarga Abdul Fatah @ Daeng Mapunah Daeng Pasauk apabila sanak saudaranya berjaya mengadakan pertemuan di Dewan Muafakat Sungai Pinggan, Benut pada Khamis.
Cucu Allahyarham, Profesor Ts Dr Jamel Othman berkata, program itu telah menemukan ahli keluarga, cucu dan cicit serta generasi keluarga bagi merapatkan hubungan silaturahim.
Katanya, lima daripada 12 anak Allahyarham masih hidup termasuk ibunya Atikah Abd Fattah yang kini berusia 86 tahun.
Berkongsi latar belakang arwah datuknya, Jamel memberitahu, Allahyarham Abdul Fattah merupakan antara penduduk awal membangunkan Benut.
Allahyarham Abdul Fattah yang berasal dari Wajo, Sulawesi Indonesia meninggal dunia di Benut pada tahun 1956 ketika berumur 66 tahun.
Jamel berkata, majlis pertemuan itu diserikan dengan acara cabutan bertuah dan penyampaian duit raya kepada anak-anak selain disajikan dengan menu tradisi Bugis iaitu burasak dan lepat lueh.
"Alhamdulilah, penganjuran kali ini berjalan lancar apabila seramai 300 ahli keluarga hadir. Majlis dimulakan dengan doa selamat dan tazkirah diikuti sesi penceritaan salasilah keluarga terutama kepada generasi keempat dan kelima, supaya mereka mengenali asal usul keturunan.
"Saya harap majlis pertemuan seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang supaya tali persaudaraan dapat dieratkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!