Universiti awam untuk rakyat
KALAU mengikut ukuran Menteri Pengajian Tinggi yang lalu, Datuk Seri Idris Jusoh, universiti awam di Malaysia amat hebat daripada produksi akademik dan pelajarnya. Ukuran dibuat daripada jumlah kertas jurnal dan berapa ramai mahasiswa yang menjadi graduan.
Bagi Datuk menteri, inilah tugas utama universiti, kilang produksi jurnal dan kilang produksi graduan yang jumlah beratus ribu. Setelah mempunyai 20 universiti awam, apakah kesannya terhadap pemikiran masyarakat? Setahu saya bila melihat paparan media isu-isu rakyat masih lagi berlegar mengenai rumah mampu milik, denggi, buli, gelas minum halal dan haram. Isu orang Cina berak tak cuci, beg pelajar berat, isu tampar pelajar, isu jangan ambil gambar di kedai orang ‘kafir’, dan sebagainya.
Sepatutnya isu-isu remeh ini tidak lagi dibincangkan oleh tokoh agama, pemimpin dan graduan. Kenapa setelah 60 tahun merdeka isu perkauman, perumahan, pengangguran masih menjadi utama? Sebabnya mudah. Universiti adalah kilang jurnal dan kilang graduan. Tugas universiti hanyalah menghasilkan jurnal yang rakyat tak baca, konferensi yang wartawan pun tak ingin datang dan wacana ilmu yang ahli akademik pun tak hadir.
Pendek kata, universiti awam di Malaysia tugasnya isi bakul universiti itu sendiri. Bilakah masa terakhir kita dengar sebuah buku yang menggegarkan minda rakyat dan menyuluh jalan ke masa depan negara-bangsa yang lebih cerah? Tak ada pun dari universiti. Kalau pun ada cepat-cepat buku itu diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri. Kenapa buku yang ditulis oleh tokoh-tokoh terkenal dan berwibawa diharamkan?
Kata pegawai kementerian, ia menggugat masyarakat dan mencabar norma rakyat. Setahu saya tugas sesebuah entiti yang bernama ‘universiti’ adalah mencabar pemikiran lama dan memberi nafas baharu. Itulah cara manusia dan masyarakat berkembang. Rasulullah mencabar praktis penghambaan wanita, mengkritik pengebumian bayi dan membantah dengan keras pegangan minda ahli agamawan terhadap umat manusia.
Terputusnya kerasulan daripada kalangan manusia perlu diganti oleh orang alim, cerdik pandai, profesor. Saya fikir yang naib canselor universiti awam patut bersuara tentang isu pengharaman buku ilmiah kerana mereka pun ‘cendekiawan’ juga yang berpangkat profesor.
Tetapi malangnya golongan naib canselor 20 buah universiti membisu seribu bahasa. Mereka sudah lupa atau pun mereka tidak tahu tentang tanggungjawab institusi ilmu terhadap rakyat pembayar cukai dan yang tak bayar cukai. Tugas universiti bukan sekadar jurnal dan graduan tetapi membawa bersama kesedaran tentang isu dan penyelesaiannya dalam masyarakat dengan menjadi pendidik kepada seluruh orang awam di negara ini.
Kenapa? Sebab dalam sesebuah negara yang mempraktikkan demokrasi, pucuk pimpinan negara dipilih dalam kalangan rakyat, oleh rakyat dan untuk menyumbang kepada rakyat. Bukan daripada golongan aristokrat. Bukan daripada golongan raja dan sultan. Ini negara Malaysia, bukan lagi Tanah Melayu. Jika wakil rakyat kita hanya tahu gelas haram dan gelas halal serta isu haram-halal kedai dobi maka susahlah kita semua sebagai rakyat.
Pimpinan universiti wajib memastikan ahli akademik bukan sahaja bertanggungjawab mengembangkan batasan ilmu pengkhususan masing-masing dan menyampaikan kepada pelajar, mereka juga perlu menjadi pendidik kepada rakyat jelata melalui forum terbuka, wawancara di media dan tulisan buku-buku yang merangsang seluruh dan segenap lapisan rakyat.
Sesebuah negara tidak akan maju jika hanya segelintir rakyatnya mendapat ilmu untuk menjadi pemikir kritis. Walaupun kini terdapat berjuta-juta graduan universiti tetapi ilmu mereka hanya setakat tahap ‘ilmu tiruan’ atau fahaman imitatif. Di universiti, graduan belajar ‘meniru’ menjadi arkitek, doktor dan peguam.
Sebab inilah saya ungkapkan frasa ilmu dari universiti awam adalah setakat ‘artificial intelligence’ dan bukan pemikiran kritis. Universiti bukan tempat naib canselor merasa gah dengan jawatan tetapi sebagai pengurus yang memastikan graduan keluar boleh menimbangkan sesuatu isu yang diuar-uarkan oleh golongan agamawan, pemimpin negara, politikus kepartian atau NGO berbaur perkauman sama ada maklumat tersebut boleh diterima dan jika tidak, graduan kita boleh menyangkalnya di sosial media dengan tulisan beradab.
Apabila saya menulis atau menyuarakan pendapat tentang tanggungjawab akademia dan kepimpinan universiti dalam mendidik rakyat dan menegur kepimpinan negara, saya dianggap sebagai ‘pariah’ kerana melanggar budaya Melayu. Sebabnya kesemua naib canselor dan kebanyakan profesor di universiti tempatan adalah Melayu.
Bagi saya golongan akademik dan pengurusan universiti sedemikian telah mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang Muslim dan juga sebagai rakyat Malaysia berpendidikan tinggi.
* Penulis ialah Profesor Senibina di sebuah universiti swasta tempatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!