Tangisan kuat selamatkan nyawa bayi
SUBANG JAYA - Tangisan seorang bayi menyelamatkan nyawanya daripada menjadi mangsa haiwan berbisa apabila didengar seorang lelaki yang segera menjenguk di belakang rumah teres di kawasan Taman Puchong Indah di sini pada Khamis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Mohd Fairus Jaafar berkata, bayi lelaki berlumuran darah dan dijumpai bersama uri serta bertali pusat itu disyaki lahir kurang dari 24 jam.
Menurutnya, polis menerima maklumat mengenai kejadian kira-kira jam 9.24 malam dan apabila sampai di lokasi mendapati dibungkus menggunakan plastik hitam tetapi sudah terbuka," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Katanya, keadaan di lokasi gelap dan bersemak.
"Bayi tersebut dihantar ke Hospital Serdang dan pemeriksaan doktor mendapati bayi seberat kira-kira 2.2 kilogram itu dilahirkan normal ketika usia antara 38 hingga 40 minggu serta tiada kesan kecederaan pada tubuhnya.
Ujar Mohd Fairus, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi tersebut.
"Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut tampil memberi kerjasama melalui nombor telefon 03 56210343 (Pusat Kawalan Daerah, Subang Jaya) atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Adilah Rosli di talian 016-6873616," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!