MOM tunggu butiran lanjut penangguhan Sukan Asia
MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) akan menunggu butiran lanjut mengenai penangguhan Sukan Asia Hangzhou 2022 sebelum merangka strategi baharu.
Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, Majlis Olimpik Asia (MOA) dan Jawatankuasa Penganjuran Sukan Asia Hangzhou (HAGOC) masih belum memberikan butiran lanjut mengenai penangguhan itu, termasuk tarikh baharu.
"Kami telah menerima pemberitahuan lisan daripada mereka. Kami berhubung rapat dengan mereka (MOA dan HAGOC). Kami masih menunggu hitam putih sebelum memaklumkan tindakan yang akan diambil seterusnya,” katanya ketika dihubungi, pada Jumaat.
Pada Jumaat, Jawatankuasa Olimpik China (JOC), HAGOC dan Lembaga Eksekutif (EB) MOA telah memutuskan untuk menangguhkan Sukan Asia ke-19 dijadual dari 10-25 September selepas perbincangan terperinci.
MOA berkata, tarikh baharu akan diumumkan dalam masa terdekat, manakala nama dan logo Sukan Asia ke-19 kekal tidak berubah.
"HAGOC telah bersedia untuk menganjurkan temasya itu tepat pada masanya walaupun menghadapi cabaran global. Walau bagaimanapun, keputusan di atas telah diputuskan oleh semua pihak berkepentingan selepas mempertimbangkan situasi pandemik dan saiz Sukan,” kata MOA dalam kenyataan, tanpa memberikan alasan khusus bagi penangguhan itu.
Bandar Hangzhou yang terletak di tepi tasik hanya kira-kira dua jam perjalanan dari ibu kota kewangan China, Shanghai, yang dilaporkan bergelut dengan pandemik Covid-19 baru-baru ini dan dikenakan sekatan pergerakan yang ketat.
MOA juga mengumumkan pembatalan Sukan Remaja Asia Shantou 2021, dijadual pada 20-28 Disember yang sebelum ini ditangguhkan bagi tempoh setahun.
Edisi seterusnya akan diadakan pada tahun 2025 di Tashkent, Uzbekistan.
Sementara itu, Chef De Mission (CDM) Malaysia ke Hangzhou 2022 Datuk Chong Kim Fatt berkata, beliau akan membincangkan perkara itu dengan MOM tidak lama lagi, untuk merangka strategi baharu untuk Sukan Asia.
"Kita harus menerima keadaan. Buat masa ini kami memberi tumpuan kepada Sukan SEA (di Hanoi berlangsung dari 12-23 Mei). Saya percaya MOM akan membuat pengumuman tidak lama lagi,” katanya.
Sejumlah 482 acara daripada 40 jenis sukan disenaraikan untuk temasya itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!