"Hanya mampu laung nama ALLAH"
YAN - "Saya hanya mampu laung nama ALLAH saja bila nampak ribut terbangkan bumbung rumah," demikian kata seorang mangsa kejadian ribut, Azizah Saidun, 70, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Teroi, hari ini.
Katanya, kejadian berlaku pada jam 6 petang ketika dia bersama seorang anak dan dua cucu sedang berehat di ruang tamu.
"Pada mulanya angin sangat kuat dan hujan lebat. Habis terselak semua bumbung dan air hujan masuk ke dalam rumah," katanya.
Azizah berkata, keadaan ketika itu agak kelam kabut memandangkan yang ada di rumah semuanya perempuan.
"Tak tau nak minta tolong siapa, saya cuma suruh dua cucu perempuan saya alihkan televisyen sahaja.
"Barang lain macam almari, peti sejuk memang tak sempat nak alihkan dan terpaksa biar terkena hujan," katanya.
Menurut Azizah, ini adalah kali pertama rumahnya terkena bencana ribut sehingga semua ruang rumah kotor akibat dimasuki air.
"Cuma tinggal ruang bilik saja yang kering tak kena hujan. Jadi semalam kami berempat tidur berhimpit dalam satu bilik," katanya.
Menurutnya, dia hanya risaukan kejadian lintar pintas memandangkan bumbung rumahnya yang boleh dimasuki air.
Sementara itu mangsa kedua, Fazilah Ahmad, 56, berkata, ketika kejadian, dia pergi ke kedai untuk membeli barangan keperluan dapur.
"Bila sampai rumah saya terkejut tengok keadaan bumbung rumah yang berterbangan. Habis ruang dapur basah," katanya.
Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Yan, Kapten (PA) Norlizawati Ismail berkata, sebanyak enam rumah terjejas berikutan kejadian ribut berkenaan.
"Ia melibatkan tiga rumah di Kampung Teroi, sebuah di Kampung Sungai Lentang dan dua rumah di Kampung Belakang Masjid," katanya.
Hadir sama meninjau keadaan rumah mangsa Pegawai Khas Kanan Menteri Besar Kedah, Mohd Saffuan Sabari; wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan juga pejabat zakat daerah Yan yang turut menyampaikan sumbangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!