Remaja lelaki dikhuatiri lemas

Operasi mencari dan menyelamat mangsa giat dilakukan di lokasi kejadian. -Foto PDRM
Operasi mencari dan menyelamat mangsa giat dilakukan di lokasi kejadian. -Foto PDRM
A
A
A

KUANTAN - Kegembiraan sebuah keluarga berkelah bertukar tragedi selepas seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas dibawa arus deras di Pasir Puteri Sungai Lembing di sini pada Jumaat.

Mangsa, Amirun Mohamad, 14 dari Taman Seri Perasing, Jabor Terengganu dihanyutkan arus deras ketika sedang mandi bersama abang dan sepupu-sepupunya.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kira-kira jam 2.14 petang, mangsa bersama keluarga tiba di kawasan tersebut untuk berkelah.

Menurutnya, kira-kira seminit kemudian, mangsa bersama abang dan dua sepupunya telah turun ke sungai lebih kurang 100 meter dari khemah yang didirikan di tapak tersebut.

"Semasa sedang mandi, tiba-tiba mangsa bersama abang dan sepupunya telah dihanyutkan arus deras ke kawasan yang lebih dalam.

'Dalam kejadian ini, abangnya, Mohamad Azri,17 serta sepupu mangsa, Amaluddin Ismail,13 dan Mohamad Khalid Yusof,16 berjaya diselamatkan oleh orang ramai yang berada di lokasi kejadian.

"Mangsa, Amirun dihanyutkan arus deras ke bahagian hilir dan gagal diselamatkan. Usaha ahli keluarga dengan bantuan orang ramai di lokasi kejadian juga gagal menemui mangsa," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ujarnya, usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa telah diselaraskan dengan bantuan lain-lain agensi dan penduduk tempatan sekitar kawasan Sungai Lembing.

"Pencarian mangsa tertumpu di kawasan hilir sungai berhampiran tempat mangsa kali terakhir dilihat dan usaha SAR diteruskan menggunakan bot penyelamat di sepanjang kawasan kejadian," tambahnya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria memberitahu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) telah menerima panggilan daripada MERS pada jam 2.35 petang.

"Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Kuantan dan BBP Pekan telah diarahkan ke lokasi kejadian.

"Sebanyak sebuah jentera penyelamat, RRV, Hilux dan satu bot aluminium serta seramai enam pegawai, 12 anggota hadir ke lokasi kejadian dengan diketuai oleh Ketua BBP Indera Mahkota, Roslan Mat Din selain bantuan dari pihak polis serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Lembing," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ujarnya, pasukan bomba membuat pencarian menggunakan teknik selaman oleh PPDA.

"Satu bot aluminium turut digunakan mencari mangsa dari tempat lokasi mangsa dilihat lemas dan sekitar kawasan tersebut," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!