Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS. Gambar hiasan
Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ringgit mencatat prestasi sebaliknya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat selepas mengukuh semalam (Khamis), seiring dengan perkembangan mata wang Asia lain ketika usaha mengelak risiko terus ketara selain peningkatan hasil Perbendaharaan AS yang menarik pelabur memilih unit negara maju itu.

Pada 6 petang ini, ringgit susut kepada 4.3650/3680 berbanding dolar AS daripada 4.3465/3515 pada akhir urus niaga Khamis.

Penganalisis Kanan Pasaran Asia Pasifik OANDA Jeffrey Halley berkata, dolar AS mencatat peningkatan ketara, sekali gus mengatasi kerugian awal pasca mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC).

Menurutnya, perkembangan itu berlaku ketika para pelabur terus mengelak risiko yang turut menular ke pasaran lain manakala hasil Perbendaharaan 10 Tahun AS meningkat dan ditutup melepasi paras 3.0 peratus.

"Sokongan pada 102.50 kekal kukuh sewaktu ditutup yang menandakan dolar AS akan menyaksikan lebih banyak peningkatan di masa akan datang,” katanya.

Berikutan itu, Halley berkata, mata wang serantau Asia akan kekal diasak tekanan akibat pengukuhan dolar AS selain dasar monetari yang berbeza.

"Ringgit misalnya telah meningkat 0.60 peratus kepada 4.3750 berbanding dolar AS dan berkemungkinan boleh mencecah 4.4500,” katanya.

Sewaktu ditutup, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kelompok mata wang utama lain.

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1523/1549 daripada 3.1549/1588 sebelum ini, mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.3453/3479 daripada 3.3517/3558 serta meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3868/3905 daripada 5.4622/4685 sebelumnya.

Bagaimanapun, unit tempatan itu susut berbanding euro kepada 4.6138/6170 daripada 4.6056/6108, pada Khamis. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!