Gudang simpan bahan kimia di Sungai Bakap terbakar
NIBONG TEBAL - Sebuah gudang menyimpan bahan kimia yang terletak di Kawasan Perindustrian Valdo, Sungai Bakap, di sini terbakar kira-kira jam 5.40 pagi Jumaat.
Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Tarmizi Abdul Salam berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 5.45 pagi berhubung kejadian terbabit.
Menurutnya, sejurus menerima panggilan kecemasan, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Bakap bergegas ke lokasi kejadian.
"Kerja pemadaman kebakaran dibantu jentera dari BBP Nibong Tebal; BBP Perai, BBP Batu Kawan dan BBP Bandar Perda.
"Tugas pemadaman yang mengambil masa lebih lapan jam melibatkan lebih 100 pegawai dan anggota bomba yang turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) bersama 10 jentera," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Beliau berkata, kebakaran melibatkan tiga bahagian struktur tempat penyimpanan di gudang berkenaan dengan keluasan 3,716 meter persegi.
"Gudang ini merupakan tempat menyimpan pelbagai bahan kimia dan cecair mudah terbakar.
Disebabkan itu, api cepat merebak. Sehingga jam 5 petang tadi, kerja pemadaman sudah di peringkat akhir.
"Kita sedang lakukan ‘overhaul’ bagi memastikan api serta bara padam sepenuhnya," katanya.
Tambahnya lagi, kejadian tidak melibatkan kemalangan jiwa atau kecederaan.
Bagaimanapun, sebuah jentera pasukan bomba sukarela (PBS) nyaris terbakar akibat terkena serpihan letupan dari api yang marak.
"Jentera tersebut mengalami kerosakan cat di bahagian penumpang hadapan manakala bahagian hadapan kenderaan telah tertanggal.
"Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!