Pukul isteri sehingga maut berang didakwa ada hubungan sulit
KAJANG - Keriangan Aidilfitri yang sepatutnya diraikan dengan kegembiraan menjadi tragedi hitam buat seorang suri rumah apabila dipukul sehingga maut gara-gara mendakwa suaminya mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain dalam kejadian di sebuah rumah flat di Batu 9 di sini pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan daripada pegawai perubatan Hospital Kajang kira-kira jam 9.16 pagi berkaitan mangsa yang dihantar dalam keadaan tidak sedarkan diri ke hospital berkenaan.
"Mangsa yang berumur 28 tahun itu dalam keadaan tidak sedarkan diri dihantar suaminya untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia.
"Pemeriksaan yang dijalankan mendapati terdapat kesan lebam pada beberapa anggota badan mangsa dan pegawai perubatan berkenaan mendapati kematian ini mencurigakan sebelum bertindak melaporkan kejadian kepada polis," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Katanya, hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian adalah kecederaan abdomen disebabkan hentakan kuat dengan menggunakan senjata tumpul.
"Siasatan dijalankan mendapati mangsa telah dipukul dengan menggunakan kaki, tangan dan senjata tumpul sehingga menyebabkan kematian.
"Suami kepada mangsa yang bekerja sebagi mekanik berumur 38 tahun ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.
"Motif pembunuhan adalah suspek marah dengan mangsa disebabkan mangsa telah memuat naik di media sosial bahawa suspek mempunyai hubungan sulit.
"Kes telah dirujuk ke kamar Timbalan Pendakwar Raya Selangor dan suspek akan dituduh pada 9 Mei ini di Mahkamah Majisret Kajang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!