Polis Thailand tahan 7 lelaki terbabit pemerdagangan orang

Polis Thailand menahan tujuh lelaki atas kesalahan memperdagangkan warga tempatan untuk aktiviti menangkap ikan secara haram di perairan Malaysia. Gambar hiasan
Polis Thailand menahan tujuh lelaki atas kesalahan memperdagangkan warga tempatan untuk aktiviti menangkap ikan secara haram di perairan Malaysia. Gambar hiasan
A
A
A

BANGKOK - Polis Thailand menahan tujuh lelaki atas kesalahan memperdagangkan warga tempatan untuk aktiviti menangkap ikan secara haram di perairan Malaysia.

Timbalan Komander Bahagian Anti Pemerdagangan Orang, Biro Siasatan Pusat, Polis Diraja Thailand Kolonel Narong Tesswiboon berkata, mereka ditahan pada Khamis selepas siasatan terhadap kes membabitkan 44 pekerja Thailand di atas kapal nelayan yang dihantar pulang dari Malaysia pada September tahun lepas, tiga didapati menjadi mangsa pemerdagangan manusia.

Lelaki yang ditahan itu termasuk pemilik bot dan tekong serta lima orang tengah yang terlibat mengumpan warga Thailand untuk bekerja di atas kapal nelayan.

Siasatan mendapati mereka dipaksa bekerja lebih masa dengan upah yang tidak setimpal.

Mereka juga didera secara fizikal dan mental.

"Pekerja tidak dibayar, namun mereka diberi elaun sara hidup bulanan sebanyak RM100 untuk membeli barangan keperluan harian.

"Siasatan awal mendapati mereka diperdaya untuk bekerja (di atas kapal nelayan) di perairan Malaysia.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan polis Thailand akan bekerjasama dengan rakan sejawatan di Malaysia,” katanya dalam sidang media.

Menurut satu paparan video, seorang lelaki Thailand menceritakan bagaimana dia ditipu.

"Saya mahu pulang kerana tiada apa-apa untuk dimakan... Saya bekerja di bot nelayan selama lebih dua tahun.

Saya tidak dibayar seperti yang dijanjikan. Saya bekerja seperti hamba,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!