Bangkai sotong gergasi terdampar di pantai
CAPE TOWN - Bangkai sotong gergasi ditemui terdampar di sebuah pantai dekat Cape Town, Afrika Selatan baru-baru ini.
Penemuan itu telah disiarkan di Instagram oleh Alison Paulus yang menunjukkan bangkai tersebut terdampar di pantai berkenaan.
Gambar- gambar yang disiarkan itu menunjukkan haiwan tersebut bersaiz berkali ganda tinggi daripada saiz sotong biasa.
Paulus ialah seorang penduduk Cape Town dan pengasas organisasi pemuliharaan hidupan liar iaitu Volunteer and Explore.
Dia memberitahu Live Science bahawa bangkai sotong itu sepanjang kira-kira 2.2 meter.
Namun, katanya, jika diukur sehingga ke sesungut, panjang hidupan laut itu akan bertambah sehingga 3.5 meter.
Jon Friedman iaitu seorang pegawai hidupan liar dari Persatuan Menghalang Kekejaman Haiwan Tanjung Pengharapan (SPCA) memberitahu sotong tersebut ialah betina dan berumur kira-kira dua tahun.
Menurutnya, berdasarkan kepada luka yang terdapat pada bangkai haiwan itu, ia dipercayai mati selepas dilanggar oleh kapal di laut. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!