Anjing K9 kesan gading gajah, kulit harimau
CABARAN yang dihadapi dua pengendali anjing pengesan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Unit K9 Perhilitan) adalah mereka perlu bijak memahami emosi, reaksi dan tingkah laku haiwan itu.
Ketua Unit K9 Perhilitan, Ricky Chok, 38, berkata, beliau bersama seorang lagi rakan sekerjanya perlu memahami semua perkara itu melalui aktiviti harian bersama dua anjing pengesan yang diberi nama Ronan dan Atos.
“Kita perlu melakukan latihan bersama dengan anjing pengesan bagi mengenali serta mewujudkan persefahaman antara pengendali dan haiwan tersebut,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Perhilitan di Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.
RONAN DAN ATOS JALANI LATIHAN
Ricky memberitahu, dua ekor anjing pengesan itu dilatih khusus supaya mempunyai kemahiran menghidu hidupan liar yang disembunyikan di dalam kenderaan, kargo atau kotak.
“Itu antara kehebatan dua ekor anjing pengesan Unit K9 Perhilitan bernama Ronan dan Atos,” katanya.
Jelas Ricky, dua anjing pengesan itu berbeza dengan anjing pengesan dari agensi penguatkuasaan lain.
“Ronan dan Atos menjalani latihan khusus bagi pengesanan elemen jenayah penyeludupan hidupan liar,” jelasnya.
Ricky berkata, deria hidu anjing adalah sangat tajam berbanding haiwan lain dan ia dapat mengesan kedudukan hidupan liar atau bahagian hidupan liar yang disembunyikan atau diseludup oleh penjenayah.
“Menerusi penubuhan unit anjing pengesan hidupan liar yang pertama di Semenanjung Malaysia ini, kita percaya bahawa aktiviti penguatkuasaan dapat dipertingkatkan dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan hidupan liar,” katanya
Beliau menambah, dua anjing pengesan yang digunakan oleh Unit K9 Perhilitan adalah daripada jenis baka Labrador.
“Anjing pengesan bernama Ronan berasal dari Afrika Selatan dan dilatih di Paramount Specialized K9 Training Academy di negara itu.
“Seekor lagi anjing pengesan bernama Atos pula berasal dari Hungary dan dilatih di Scent Imprint Conservation Dogs di Belanda,” katanya.
Ricky berkata, dua ekor anjing baka bekerja itu telah dilatih di luar negara sebelum dibawa masuk ke Malaysia.
“Kita sebagai pengendali akan melatih anjing tersebut mengenali sampel hidupan liar atau bahagian hidupan liar di fasaliti Unit K9 Perhilitan.
“Latihan itu akan mengambil masa kira-kira dua hingga tiga minggu bagi membolehkan anjing itu mengenali dan menghafal bau sampel tersebut,” katanya.
BOLEH KESAN SISIK TENGGILING
Kepakaran anjing pengesan Unit K9 Perhilitan adalah haiwan itu dapat mengesan hidupan liar dan bahagian hidupan liar yang dilindungi di bawah Akta 716.
“Antara bau spesies hidupan liar yang dilatih kepada anjing pengesan ini adalah seperti gading gajah, sumbu badak, sisik tenggiling, tulang dan kulit harimau, kura-kura jenis India Star Tortoise, ular Ball Python dan hidupan liar lain yang dilindungi di bawah akta tersebut,” terang Ricky.
Lelaki yang berasal dari Penampang, Sabah itu telah berkhidmat dengan Perhilitan sejak 12 tahun lalu.
“Saya turut terlibat dalam perancangan penubuhan Unit K9 Perhilitan. Unit ini telah ditubuhkan pada Jun 2019, ia adalah hasil kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Rimba.
“Kerjasama ini adalah salah satu usaha bagi membendung jenayah hidupan liar dan tugas unit ini adalah membantu dalam aktiviti dan operasi pemeriksaan penguatkuasaan Perhilitan,” jelasnya.
Ricky berkata, beliau dan rakan setugas menjalani latihan setelah dua ekor anjing pengesan Unit K9 Perhilitan dibawa masuk ke Malaysia.
“Kami menjalani latihan di sini bersama seorang jurulatih dari Afrika Selatan yang berpengalaman mengendalikan anjing pengesan pada Julai hingga Oktober 2019,” ujarnya.
Beliau berkata, kemudian seorang lagi jurulatih dari Belanda datang ke Malaysia untuk melihat kemahiran dua ekor anjing tersebut.
“Jurulatih berkenaan mendapati salah seekor anjing bernama Hector kemahirannya ketika bekerja kurang memuaskan,” katanya.
IKATAN DENGAN HECTOR
Menurut Ricky, pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang tempoh beliau berkhidmat dalam Unit K9 Perhilitan adalah Hector yang juga anjing baka Dutch Shephard diberhentikan perkhidmatannya.
”Ia terpaksa diberhentikan dan digantikan dengan Atos kerana semangat kerja dan prestasi pengesanannya tidak memuaskan.
“Hector telah bersama-sama dengan Unit K9 Perhilitan selama setahun 10 bulan dan mempunyai ‘bonding’ atau hubungan yang baik dengan anggota unit ini,” katanya mengimbas kenangan bersama Hector.
Beliau berkata, walaupun Hector dari segi luaran nampak garang tetapi sebenarnya ia seekor anjing pengesan yang manja.
“Saya berasa sedih apabila terpaksa berpisah dengan Hector apabila perkhidmatan haiwan itu diberhentikan,” katanya.
Mengulas lanjut, Ricky memberitahu, tugasan Unit K9 Perhilitan adalah mengesan kedudukan hidupan liar atau bahagian hidupan liar yang disembunyikan atau diseludup oleh penjenayah melalui pintu masuk utama negara.
“Kita terlibat dalam operasi dan pemeriksaan di lapangan terbang antarabangsa, pelabuhan utama dan pintu sempadan darat Malaysia-Thailand.
“Selain itu, Unit K9 Perhilitan turut membantu pemeriksaan dalam Operasi Bersepadu Khazanah di kawasan kem atau rumah kongsi balak dan rumah kongsi ladang,” ujarnya.
Beliau berkata, setakat ini belum ada kejayaan daripada unit K9 Perhilitan, namun kehadiran anjing pengesan hidupan liar itu dapat membantu pemeriksaan penguatkuasaan di kawasan operasi.
“Secara tidak langsung ia dapat mengerunkan penyeludup hidupan liar yang mahu melakukan aktiviti jenayah di kawasan tersebut,” katanya.
PENGENDALI ANJING KENA BERSABAR
Menurut Ricky, seorang pengendali anjing pengesan perlu mempunyai sifat ceria, tegas dan bersabar dalam melatih dan bekerja bersama haiwan itu.
“Kita harus memastikan anjing pengesan itu sihat, ceria dan bertenaga sebelum menjalankan sesuatu tugas,” katanya.
Ricky berkata, beliau juga perlu memastikan anjing pengesan tersebut sentiasa patuh pada arahan, selain memahami bahasa pengendalinya.
“Tugas mengendali anjing K9 ini bukan satu perkara mudah,” ujarnya.
Jelas beliau, golongan muda yang berminat untuk berkhidmat dengan unit K9 Perhilitan perlu ada minat terhadap anjing.
“Mereka juga perlu ada sikap menyayangi dan tidak takut pada haiwan tersebut, individu itu juga perlu ada kecergasan dan stamina diri yang baik kerana mereka akan bekerja dengan anjing yang bertenaga,” katanya.
Ricky dan Tesen jadi jurulatih K9 hidupan liar
Sementara itu, seorang lagi pengendali Unit K9 Perhilitan, Tesen Juep, 50, berkata, tugas mengendalikan anjing pengesan memang mencabar kerana beliau perlu menjalani latihan kerap bagi memastikan anjing itu dapat mengesan hidupan liar yang diseludup
“Deria bau anjing ni juga sangat kuat sehinggakan haiwan itu boleh tahu dari mana datangnya bau tu. Bila ada bau sesuatu, dia akan cari sampai dapat.
“Ronan akan menunjukkan reaksi statik atau berdiam diri apabila jumpa bahagian hidupan liar, manakala Atos pula akan menunjukkan reaksi gerakan ekornya apabila terjumpa hidupan liar yang diseludup penjenayah,” katanya.
Tesen berkata, beliau bersama Ricky telah menjalani kursus sebagai jurulatih anjing pengesan K9 selama dua minggu pada Februari lalu di Belanda.
“Kami menerima sijil sebagai jurulatih K9 hidupan liar selepas menjalani latihan dan krusus di negara tersebut,” ujarnya.
Tesen berkata, Unit K9 Perhilitan turut membantu agensi lain seperti Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).
“Jalinan kerjasama itu berdasarkan perancangan dan jemputan daripada agensi tersebut, Maqis memeriksa barangan pertanian.
“Manakala Unit K9 Perhilitan pula akan memeriksa jika ada hidupan liar yang diseludup di dalam barangan pertanian itu oleh penjenayah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!