Ranjau berliku menanti Harimau Muda di Hanoi 2021
KEUPAYAAN skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara untuk memenangi ibu segala pingat di temasya Sukan SEA Hanoi 2021 kini hangat dibincangkan peminat bola sepak negara selepas menampilkan aksi yang kurang memberangsangkan pada Kejuaraan B-23 AFF 2020 di Kemboja, Februari lalu.
Malah bukan itu sahaja, terdapat segelintir peminat sukan nombor satu negara tersebut beranggapan buah Brad Maloney berkemungkinan mengulangi skrip edisi Filipina 2019 selepas skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee ketika itu sekadar menamatkan saingan di tempat ketiga kumpulan.
Bukan mahu menidakkan keupayaan yang dimiliki skuad B-23, namun itulah realiti yang harus diterima Maloney jika prestasi di Kejuaraan AFF B-23 lalu dijadikan ukuran pada edisi Sukan SEA kali ini.
Ditambah persiapan pasukan agak lewat berikutan keengganan segelintir kelab Liga Malaysia (Liga-M) melepaskan para pemain, selain tidak memanfaatkan jendela persahabatan Persekutuan Bola sepak Antarabangsa (FIFA) Mac lalu, mungkin menjejaskan pembentukan skuad lebih kompetitif.
Malah boleh dikatakan pencabar utama kumpulan B seperti Thailand dan Singapura agak gembira mendengar perkembangan itu ketika ini kerana ia akan menjadi kelebihan buat mereka memandangkan kedua-dua pasukan tersebut giat melakukan persiapan rapi bagi temasya berkenaan.
Berdasarkan rekod beberapa perlawanan sebelum ini, Harimau Muda tidak mempunyai rekod baik ketika menentang Thailand dan Singapura termasuk Kemboja yang menjadi duri dalam daging buat skuad muda negara untuk layak ke pusingan separuh akhir kejuaraan AFF B-23 lalu.
Dengan kekalahan mengejut 2-1 kepada Timor Leste dalam aksi persahabatan yang berlangsung di Shah Alam baru-baru ini ia sudah tentu merupakan satu tamparan hebat kepada Harimau Muda
Bayangkan, pasukan kerdil seperti Timor Leste tidak mampu untuk kita tewaskan inikan pula untuk melawan Thailand, dan Singapura dalam peringkat kumpulan.
Bagaimanapun, harus diingat Harimau Muda yang tewas kepada Timor Leste bukan kesebelasan terkuat memandangkan Maloney pada ketika itu masih belum dapat mengumpulkan para pemain idamannya, yang dibuktikan ketika menewaskan Filipina 2-0 dalam perlawanan persahabatan kedua.
Justeru penulis boleh mengatakan, skuad Harimau Muda yang bertanding pada kali ini bukanlah tidak mempunyai potensi untuk melepasi peringkat kumpulan.
Ia kerana para pemain yang akan mewakili negara di temasya Sukan SEA ini hampir 90 peratus berbeza berbanding apa yang dibawa ke kejuaraan AFF B-23 sebelum ini dengan hanya mengekalkan dua pemain sahaja daripada pasukan lalu.
Malah hampir semua pemain yang disenaraikan Maloney ke kem latihan pusat kali ini merupakan mereka yang berjaya membawa Malaysia meraih slot automatik ke Kejuaraan AFC B-23 di Uzbekistan pada Jun depan.
Meskipun turun ke Hanoi tanpa pemain berusia seperti dibenarkan penganjur ditambah dengan ketiadaan beberapa pemain muda hebat seperti Akhyar Rashid, Arif Aiman dan Ramadan Saifullah, kehadiran semula Hadi Fayyadh Abdul Razak akan menjadi senjata rahsia bagi menampung ketiadaan mereka.
Perkara ini diakui sendiri bekas pemain kebangsaan, Lim Chan Yew yang melihat pemain Fagiano Okayama bakal menggunakan pengalaman di Jepun bagi memperkukuhkan lagi bahagian serangan apabila bergandingan dengan seorang lagi penyerang muda negara Luqman Hakim Shamsudin.
Justeru penulis berpendapat, dengan pemain yang ada ketika ini Malaysia masih berpeluang untuk mara melepasi peringkat kumpulan sekiranya berjaya lulus ujian pertama ketika menentang Thailand pada perlawanan pembukaan kumpulan B.
Ini kerana perlawanan pertama sangat penting buat anak buah Maloney untuk meningkatkan motivasi dalam kalangan pemain bagi menghadapi perlawanan yang seterusnya.
Namun sekiranya keputusan positif gagal dijelmakan pada perlawanan tersebut, penulis beranggapan peluang skuad Maloney untuk mara pusingan seterusnya adalah tipis dan berkemungkinan mengulangi skrip sama di edisi Filipina 2019 sebelum ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!