'Tak sabar nak balik raya naik ECRL'
RAKYAT pastinya tidak sabar untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) untuk pulang ke kampung pada musim perayaan apabila kerajaan memberi jaminan kadar tambangnya tidak akan membebankan.
Kemudahan kereta api laju yang pertama seumpamanya di Malaysia itu yang menghubungkan Pantai Barat Semenanjung dengan Pantai Timur Semenanjung sememangnya dinantikan orang ramai.
Dengan kemudahan pengangkutan moden berkenaan, jarak masa perjalanan dari Lembah Klang ke ke Pantai Timur lebih singkat.
Namun, perkara yang menjadi tanda tanya adalah soal harga tambangnya kerana dengan peruntukan besar berbilion ringgit dibelanjakan untuk melaksanakan projek mega tersebut, segelintir pihak mengandaikan kadar tambangnya mungkin mahal dan tidak mampu dibayar rakyat marhaen.
Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail pada Khamis dilaporkan berkata, tambang ECRL dijangka mahal iaitu sehingga enam kali ganda lebih tinggi berbanding harga tiket penerbangan ekoran kos pembinaannya yang tinggi.
Kos projek ECRL sepanjang 665 kilometer melibatkan 59 terowong dianggarkan mencecah RM50.27 bilion dan dijangka beroperasi pada 2027 kelak.
Projek tersebut merangkumi kerja-kerja pembinaan di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.
Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pada Jumaat berkata, dakwaan itu adalah bersifat spekulatif dan tidak berasas.
Ka Siong berkata, perbincangan masih berjalan di peringkat kerajaan bagi menetapkan kadar tambang penumpang ECRL untuk setara berbanding kadar tambang yang dikenakan oleh perkhidmatan tren elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Pantai Barat Semenanjung.
"Sepertimana yang diketahui, kadar tambang ETS adalah amat berpatutan dan lebih rendah berbanding kadar tiket pesawat bagi laluan dan destinasi di Pantai Barat Semenanjung. Penetapan kadar tambang ECRL adalah berdasarkan Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD).
"Secara dasarnya, kadar tambang yang ditetapkan kelak akan memastikan ECRL terus berdaya saing dengan harga berpatutan dan dalam masa sama berupaya menanggung kos pengoperasian serta penyelenggaraan. Apa yang paling penting, ia tidak akan membebankan para pengguna," katanya.
Sememangnya jaminan berkenaan yang mahu didengar rakyat ketika ini kerana ramai warga Pantai Timur sudah jemu terpaksa menghadap kesesakan jalan yang teruk setiap kali pulang ke kampung dan kembali semula ke ibu kota untuk menyambut raya.
Kesesakan teruk juga berlaku pada sambutan Aidilfitri kali ini apabila berpusu-pusu warga Pantai Timur pulang ke kampung untuk menyambut raya selepas dua tahun tidak dibenarkan berbuat demikian.
Dengan kadar tambang ECRL yang berpatutan ia akan memberikan orang ramai lebih banyak pilihan kemudahan pengangkutan untuk pulang beraya ke kampung halaman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!