Pekerja kebun maut motosikal bertembung SUV
LIPIS - Seorang pekerja kebun warga Bangladesh maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kenderaan jenis utiliti sukan (SUV) di Kilometer (KM) 25 Jalan Lipis-Benta pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam itu, mangsa, Hosen Ismail, 28 meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal penunggang motosikal dari rumahnya di Benta hendak ke Raub.
"Apabila sampai di tempat kejadian, penunggang dipercayai telah keluar dari simpang ke Raub tanpa berhenti terlebih dahulu lalu bertembung dengan SUV yang dipandu seorang lelaki berusia 36 tahun dari arah Raub ke Lipis.
"Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal cedera parah di kepala serta kaki dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Ujarnya, pemandu SUV dan penumpang berusia 29 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!