Lampard yakin realisasikan misi ‘wajib menang'

Lampard - foto TeamTalk
Lampard - foto TeamTalk
A
A
A

PENGENDALI Everton, Lampard gembira kerana kesemua pemain skuad kendaliannya itu dilaporkan cergas untuk berdepan Leicester City dalam misi ‘wajib menang’ bagi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), pada Ahad.

Justeru menurut Lampard, situasi berkenaan berkemungkinan besar menjanjikan keputusan positif bakal diraih The Toffees ketika bertandang ke Stadium King Power kali ini.

“Tiada perubahan buat kesebelasan utama kami. Kesemuanya dilaporkan cergas termasuk pemain yang mengalami kecederaan sebelum ini juga dilaporkan telah pulih.

“Cuma tinggal beberapa pemain yang mengalami kecederaan ringan namun disahkan masih boleh beraksi kali ini.

“Oleh itu, kesemua pemain diminta untuk memberikan fokus berdepan Leicester dan seterusnya merealisasikan misi kemenangan pasukan,” katanya.

Untuk rekod, Everton kini berada pada kedudukan ke-18 dengan 32 mata dan perlu segera keluar dari zon bahaya berkenaan jika mahu terus beraksi dalam saingan EPL musim depan.

Sementara itu, Lampard enggan mengulas lanjut mengenai tindakan penyerang Everton, Richarlison yang didapati melempar suar setelah menjaringkan gol kemenangan ketika berdepan Chelsea baru-baru ini.

Katanya, dia menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara ini. Bagaimanapun bagi pihak kelab, sudah tentu ada sesuatu yang akan dilakukan.

“Apa pun, ia pasti mengambil masa dan ia (masa) sangat penting buat kami ketika ini kerana kami mahu memastikan setiap masa yang ada dimanfaatkan pemain sebagai persiapan untuk menamatkan saingan musim ini dengan mencatatkan kemenangan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!