Sungai Pinji diselenggara elak banjir berulang

Jenny meninjau keadaan Sungai Pinji yang akan mula diselenggara bagi mengelak kejadian banjir kilat.
Jenny meninjau keadaan Sungai Pinji yang akan mula diselenggara bagi mengelak kejadian banjir kilat.
A
A
A

IPOH - Sungai Pinji akan diselenggara bagi mengurangkan risiko banjir yang kerap berlaku di Taman Cempaka di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Canning, Jenny Choy berkata, notis penyelenggaraan melibatkan kerja melebar dan mendalamkan sungai itu telah diterima daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membabitkan tiga aliran sungai berhampiran Taman Cempaka, Ampang dan Pekan Razaki.

Menurutnya, penyelenggaraan yang turut melibatkan proses pembersihan sungai itu akan bermula 9 Mei ini dan dijangka siap pada 4 Julai depan.

"Ini merupakan berita baik untuk penduduk di Taman Cempaka yang berdepan banjir kilat agak serius. Dalam tempoh tidak sampai setahun ini sahaja, sudah tiga kejadian banjir berlaku di Taman Cempaka.

"Keadaannya sama, hujan dalam beberapa jam sudah menyebabkan air sungai melimpah menenggelami kawasan luar dan dalam rumah hingga mencecah ke paras dada disebabkan keadaan sungai yang tidak diselenggara," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Kali terakhir kerja penyelenggaraan Sungai Pinji dilakukan pada 2019.

Beliau berkata, sebagai langkah jangka panjang, pihaknya telah mencadangkan kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk mencari tanah yang sesuai berhampiran kawasan perumahan untuk membina kolam tadahan.

"Kolam tadahan itu boleh membantu mengurangkan risiko banjir kilat sekiranya sungai kembali cetek dan menghakis," katanya.

Penduduk, Jacob Low, 50, dari Taman Cempaka berharap, projek dijalankan itu dapat menyelesaikan isu banjir yang menghantui penduduk sejak setahun lalum

Dia yang telah menetap di kawasan perumahan itu sejak 80an tidak pernah melihat banjir kilat sebegitu teruk.

"Banjir yang melanda menyebabkan penduduk resah setiap kali hujan.

"Sejak kejadian banjir, penduduk meminta agar sungai itu diselenggara, jadi kami berterima kasih apabila diluluskan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!