Op Selamat: 20 pusat ERT diwujud bantu selamat nyawa
KUALA LUMPUR - Sebanyak 20 pusat Emergency Response Team (ERT) telah diwujudkan di lebuh raya yang bertujuan membantu menyelamatkan nyawa.
Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Superintendan Dr Bakri Zainal Abidin berkata, ERT ini diselaraskan bersama Unit Siasatan Lebuh Raya (USLR) JSPT agar kolaborasi bersama dan lokasi kemalangan dapat dikendalikan dengan cepat dan teratur.
"Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Persatuan Bulan Sabit Merah dan ST John Ambulan adalah sebahagian pasukan ERT OP Selamat 18 kali ini.
"Seperti sedia maklum, kadar aliran trafik di semua sektor lebuh raya dan di jalan-jalan adalah tinggi dan luar biasa, namun tiada halangan besar dikesan setakat ini," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Tambahnya, masyarakat dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang dan mengutamakan keselamatan di jalan raya.
28 April lalu, Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim berkata, sepanjang tempoh 10 hari Op Selamat 18 bermula 29 April, pihaknya memberi tumpuan terhadap kelancaran lalu lintas dan membantu memudahkan perjalanan pengguna untuk pulang ke kampung halaman.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai peralatan termasuk Intelligent Compound Online Payment System (iCOPS) untuk membantu dalam penugasan Op Selamat 18.
ICOPS adalah satu teknologi perhubungan dengan balai polis dari segi pangkalan data iaitu dapat mengesan pesalah, pengguna yang membawa kenderaan dengan kelajuan tinggi dan rekod jenayah lampau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!