MN belum mati, namun tidak subur: Ahmad Maslan

Ahmad (tengah) pada sidang akhbar pada Majlis Rumah Terbuka Ahli Parlimen Pontian di Benut pada Sabtu.
Ahmad (tengah) pada sidang akhbar pada Majlis Rumah Terbuka Ahli Parlimen Pontian di Benut pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - UMNO menyifatkan Muafakat Nasional (MN) masih belum mati, namun tiada sebarang keputusan dibuat untuk menyuburkan kembali gabungan politik itu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan muktamad mengenai MN masih belum dibuat pucuk pimpinan setakat ini meskipun tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu Melaka, Sarawak dan Johor sudah berlalu.

"MN belum mati, namun tidak subur kerana pada PRN Melaka dan Johor, Pas memilih bersama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) walaupun UMNO sudah membuat tawaran.

"Untuk suburkan kembali (MN) pun kita tidak buat keputusan lagi pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

"Ini kerana apa-apa keputusan besar perlu dibuat oleh MKT. Setakat ini, masih belum ada sebarang perbincangan, malah mesyuarat baru-baru ini tidak dibangkitkan mengenai perkara itu," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Pontian di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, UMNO mengambil laluan sendiri sehingga sebarang keputusan berhubung MN dicapai kelak.

"Setakat ini, UMNO mengambil haluan seperti apa yang berlaku pada PRN Melaka dan Johor apabila UMNO dan Barisan Nasional (BN) bergerak solo sehinggalah satu keputusan muktamad dicapai nanti," katanya.

Pada Jumaat, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, penyatuan ummah menerusi MN yang digagaskan oleh Pas dan UMNO disifatkan sebagai formula terbaik.

Takiyuddin berkata, ini kerana penyatuan ummah itu bukan hanya terhad kepada parti-parti tertentu sahaja, sebaliknya ia boleh disertai oleh mana-mana parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau individu yang mempunyai matlamat sama iaitu ke arah penyatuan ummah seperti yang termaktub dalam piagam itu.

Oleh sebab itu, Pas dilaporkan masih lagi menyeru supaya penyatuan ummah ini membabitkan semua pihak terutamanya parti-parti Melayu Islam, parti bumiputera dan juga parti bukan Melayu yang tidak ekstrem sebagaimana yang disebut oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.