292 kemalangan di Selangor dalam sehari
SHAH ALAM - Sebanyak 292 kes kemalangan direkodkan di negeri Selangor pada hari kelapan Op Selamat 18 yang dilaksanakan sempena Aidilfitri.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata, kes yang dilaporkan pada Jumaat itu termasuk satu kes kemalangan maut membabitkan satu kematian.
"Secara kumulatifnya sepanjang lapan hari Op Selamat 18 dilancarkan bermula 29 April lalu, Negeri Selangor merekodkan 2,740 kes kemalangan.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 17 kematian dilaporkan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Tambah Azman, JSPT Selangor mengingatkan pengguna jalan raya agar berhati-hati dan bertanggungjawab dengan mematuhi peraturan seperti elak menggunakan telefon bimbit semasa memandu, potong Q dan langgar isyarat lampu merah bagi mengelakkan risiko kemalangan.
Katanya, Op Selamat selama 10 hari sehingga Ahad ini bertujuan untuk memantau keselamatan pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan ditetapkan selain memastikan aliran trafik berjalan lancar.
28 April lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan Op Selamat 18 ini bertujuan mengutamakan keselamatan pengguna jalan raya dan kelancaran aliran trafik, bukannya menumpukan untuk menahan individu yang memiliki banyak saman atau waran tangkap.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim berkata, tindakan terbabit tidak akan diambil sepanjang tempoh Op Selamat dilaksanakan kerana pihaknya mahu memastikan pengguna dapat pulang ke kampung halaman dengan selamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!