Malaysia berunding hantar pelarian Rohingya ke negara ketiga

Saifuddin ketika ditemui dalam sebuah temu bual khas di Wisma Putra hari ini. - Foto Bernama
Saifuddin ketika ditemui dalam sebuah temu bual khas di Wisma Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA- [DIKEMAS KINI] Malaysia sedang mengadakan rundingan dengan beberapa negara bagi tujuan penghantaran pelarian Rohingya ke negara ketiga.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, rundingan yang dijalankan berlangsung dengan baik dan ada beberapa negara yang menunjukkan perkembangan positif, termasuk menerima tambahan pelarian ke negara mereka.

Menurutnya, urusan penghantaran pelarian Rohingya ke negara ketiga sebelum ini tertangguh selama dua tahun berikutan pandemik Covid-19.

“Proses penghantaran ke negara ketiga sebenarnya berlaku sepanjang masa, cuma ada gangguan dalam tempoh dua tahun ini disebabkan Covid-19.

“Kita sentiasa berbincang dengan negara-negara yang berpotensi untuk menerima pelarian Rohingya dan semalam (Jumaat), saya ada perbincangan dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Kuala Lumpur.

“Ada beberapa input yang kita terima dan saya akan berbincang dengan wakil-wakil beberapa negara yang sebelum ini ada menerima pelarian Rohingya. Saya juga sudah mendapat indikasi ada beberapa negara yang memberikan perkembangan yang positif dan bersedia menambah jumlah pelarian yang mereka terima,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wawancara Khas bersama Sinar Harian, Bernama, The Star dan Sin Chew Daily yang diadakan di Wisma Putra pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Saifuddin turut mengharapkan negara-negara penerima pelarian untuk melipatgandakan jumlah pelarian yang diterima.

“Negara yang kita ‘approach’ untuk terima ini memang kita tahu bersedia untuk menerima pelarian. Memang ada negara yang tidak menerima pelarian, bukan hanya pelarian Rohingya sahaja. Jadi, negara itu kita tak jumpa la.

“Kita jumpa dan bincang dengan negara yang memang ada rekod terima dan bersedia untuk menerima golongan ini,” ujar beliau.

Pada 20 April lalu, negara dikejutkan dengan kejadian seramai 528 tahanan merusuh dan melarikan diri daripada Depot Tahanan Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap, Pulau Pinang.

Namun, lebih 460 pelarian tersebut berjaya ditahan semula manakala tujuh daripada mereka maut akibat kemalangan dalam cubaan melintas di kawasan Kilometer 168 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Malaysia kemudiannya bercadang untuk mengeluarkan sendiri kad perakuan pelarian melalui agensi yang bertanggungjawab dalam perihal tersebut.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Malaysia yang sepatutnya menentukan sama ada pelarian itu boleh tinggal di negara ini dan diberikan kad dikeluarkan oleh agensi kerajaan Malaysia bertanggungjawab.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!